Ole Gunnar Solskjaer terpaksa membuat banyak perubahan di Manchester United selepas Jose Mourinho meninggalkan kelab itu ketika membidas kembali kenyataan pengendali Tottenham itu.

Mourinho dipecat pada Disember 2018 lalu digantikan dengan Solskjaer, yang menawarkan kesan segera ketika bergelar pengurus sementara sebelum memeterai kontrak tetap, tiga bulan kemudian.

September lalu, pengurus Portugis itu ketika bertugas sebagai pemerhati bola sepak di televisyen menganggap keadaan The Red Devils lebih buruk berbanding pada era ini.

Didorong oleh ketibaan Bruno Fernandes dan Odion Ighalo Januari lalu, United telah mencatat rentetan 11 perlawanan tanpa kalah dengan meraih lapan kemenangan.

Solskjaer membangkitkan kenyataan Mourinho itu menjelang pertembungan dengan Tottenham esok sebelum ia ditunda ekoran pandemik wabak koronavirus baru (Covid-19).



"Saya rasa banyak perubahan yang diperlukan dilakukan," katanya seperti yang dipetik daripada beberapa akhbar British.

"Kami telah menandatangani empat pemain dan juga melepaskan agak ramai pemain selain merekrut pemain muda daripada akademi kelab.

"Saya tidak pasti betapa dramatiknya perubahan itu. Saya tidak fikir ia terasa seperti dramatik di samping pemain yang sudah ada.

"Kami perlu mengatasi kepincangan yang ada dan pemain telah berusaha.

"Ia bukan tentang taktik semata-mata, ia mengenai pemain. Saya mempunyai kakitangan yang hebat, saya mempunyai falsafah yang saya fikir sesuai untuk kelab ini."

United kini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) selain layak ke suku akhir Piala FA dan di ambang kemaraan ke suku akhir Liga Europa.

"Saya pernah menganggotai skuad ini jadi saya fikir saya tahu keperluan kelab ini. Saya percaya kami akan teruskan kemaraan," katanya.

"Saya percaya bahawa kami sedang meniti di landasan yang perlu dilakukan oleh Man Utd.

"Terdapat budaya yang berbeza di kelab masing-masing dan pelbagai cara untuk melakukan sesuatu, jadi saya percaya dengan pendekatan kami di Man United ketika ini.

"Saya tidak semestinya percaya bulat-bulat kepada semua yang telah kami lakukan tetapi pada masa ini, saya percaya terhadap apa yang kami lakukan.

"Saya fikir saya adalah individu yang tepat tetapi saya tidak akan bercakap tentang itu. Ia akan dibuktikan pada penghujung hari kelak."

Prestasi United kini jauh berbeza dengan Tottenham yang diasuh Mourinho yang menyaksikan kelab London itu tewas dalam lima perlawanan dan seri sekali dalam enam terakhir.

Mourinho mengadu tentang kecederaan yang menimpa pemain utamanya, namun Solskjaer tetap meneruskan sindirannya.

Berikutan The Red Devils pincang tanpa kelibat Paul Pogba dan Marcus Rashford, Solskjaer berkata: "Ya, tetapi saya tidak bercakap tentang mereka, bukankah begitu?

"Saya mahu memberi tumpuan kepada pemain yang sesuai berdasarkan sumber yang saya ada. Ia peluang buat pemain baru untuk merebut tempat.

"Ia adalah sebahagian daripada permainan ini kerana kami akan mengalami krisis kecederaan. Kami telah mengharunginya dengan baik tanpa pemain utama kami musim ini."