LEICESTER CITY 4 WEST HAM UNITED 1

Pengurus Leicester City, Brendan Rodgers, lega apabila kecederaan yang memaksa Jamie Vardy untuk dikeluarkan ketika menenentang West Ham awal pagi tadi bukannya kecederaan paha.


Penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hanya bertahan sehingga minit ke-43 ketika skuad kendalian Rodgers itu memperoleh kemenangan 4-1 di Stadium King Power.

Kegusaran mengenai sama ada ia berkaitan dengan kecederaan paha, bagaimanapun, ditamatkan apabila pengurus itu mengesahkan bahawa Vardy mungkin tidak akan berehat panjang.

"Dia cuma mengalami kesakitan di otot pinggulnya, jadi kami hanya perlu melihat keadaannya dalam beberapa hari ini," kata Rodgers dalam sidang media selepas perlawanan.

"Nasib baik dia katakan bahawa pahanya baik-baik sahaja, dia cuma berasa sakit di otot pinggulnya.

"Jadi, kami akan menilai keadaannya dalam beberapa hari ini," katanya.

Vardy menjaringkan 17 gol dalam liga musim ini untuk membantu pasukannya menduduki tangga ketiga dengan perbezaan tiga mata di belakang pasukan di tangga kedua dan juara bertahan, Manchester City.

Leicester akan berkunjung ke laman Brentford bagi perlawanan pusingan keempat Piala FA hujung minggu ini.

Kemudian, mereka akan berdepan Aston Villa dalam perlawanan timbal balik Piala EFL, Selasa depan sebelum meneruskan aksi liga dengan menantikan kunjungan Chelsea di Stadium King Power awal bulan depan.



Editor: Muzaffar Musa