Jose Mourinho yakin Gareth Bale akan pulih daripada kecederaan lututnya lebih awal kerana keinginan dan motivasinya untuk beraksi bersama kelab yang amat dicintainya.

Bale, 31, melengkapkan kepulangannya ke Tottenham Hotspur secara pinjaman semusim daripada Real Madrid, Jumaat lalu selepas meninggalkan pasukan itu dengan rekod perpindahan termahal tujuh tahun lalu.

Walaupun menikmati kejayaan yang hebat -- termasuk empat kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah -- di Madrid, dia seakan-sakan tidak diperlukan dalam pasukan utama skuad kendalian Zinedine Zidane itu sepanjang beberapa tahun ini.

Kepulangan ke Spurs itu terbukti sebagai sesuatu yang diinginkan Bale, yang berkembang menjadi salah seorang penggempur terbilang Liga Perdana Inggeris sebelum menyertai Madrid.

Pemain sayap itu mengalami kecederaan lutut ketika bersama pasukan kebangsaan Wales awal bulan ini dan ia bermakna, dia tidak dapat beraksi sekurang-kurangnya sehingga bulan depan.

Bagaimanapun, Mourinho berasakan Bale mempunyai motivasi yang akan membantunya untuk pulih lebih awal.

"Saya tidak pasti bila Gareth akan dapat kembali beraksi," kata pengurus itu.

"Apa yang saya tahu, motivasinya ketika ini amat tinggi kerana dia amat gembira untuk berada di kelab ini dengan sepenuh hatinya.

"Dia amat gembira untuk bermain bersama kami dan apabila pemain mempunyai motivasi seperti itu, kebiasaannya anda boleh memendekkan tempoh pemulihan, kembali cergas dan bersedia untuk bermain.

"Kami mahu membantunya, jadi apabila dia sudah boleh berlatih bersama pasukan ini, kami lebih daripada gembira untuk memilikinya dan akan membantunya untuk kembali ke tahapnya yang mungkin antara pemain terbaik di dunia," katanya.

Spurs akan berdepan Leyton Orient dalam Piala EFL awal pagi esok.