Jose Mourinho meramalkan penundaan pembukaan jendela perpindahan buat kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) selain pendekatan berhati-hati terhadap yuran perpindahan berikutan krisis global.

Tottenham menduduki tangga kelapan EPL di tengah musim 2019-20 yang bergelora akibat Covid-19 dan sebaik musim ini bersambung, penyokong pastinya mengharapkan peningkatan.

Mourinho berkata pemainnya teruja untuk kembali beraksi tetapi meredakan mengenai soal perpindahan di Stadium Tottenham Hotspur.

"Persoalan pertama, bilakah jendela perpindahan akan dibuka?" katanya kepada Sky Sports.

"Saya rasa ia tidak akan berlaku pada Julai atau Ogos depan.

"Kita akan menghadapi pasaran pemain yang berbeza. Saya tidak melihat dunia -- terutama bola sepak -- sedia berbelanja dengan angka yang tidak masuk akal seperti yang kita sering hadapi.

"Saya mahu kelab saya menjadi seperti apa yang saya jangkakan: berakal, seimbang dan tidak akan menghabiskan banyak wang. Kami berusaha menghormati keadaan, bukan setakat bola sepak malah mengenai situasi di dunia dan masyarakat secara keseluruhannya."




Tottenham kembali menjalani latihan setelah berehat dua bulan setengah, justeru Mourinho berkata fokus kelab ketika ini adalah kepada kesihatan pemainnya dan bukannya merancang mengenai jendela perpindahan.

"Sejujurnya ia (perpindahan pemain) adalah perkara terakhir yang sedang kami fikirkan," katanya.

"Di kelab ini, kami tidak memikirkannya. Tiada sesiapa pun yang membincangkannya kerana pada saat ini, kami hanya memikirkan keselamatan, mematuhi setiap peraturan di dalam tempat latihan.

"Kami berusaha untuk menjadi sempurna, bukan hanya mengenai ujian saringan tetapi dalam segala hal di kelab ini, kami berusaha untuk menjadi sempurna.

"Sejak Bundesliga bermula, liga di Portugal dan Sepanyol sudah pun mengumumkan tarikh untuk dimulakan, saya rasa ia adalah saat paling sukar bagi kami kerana kami ingin beraksi.

"Sukar untuk melihat negara lain boleh bermain bola sepak sedangkan kami tidak melakukannya."