ASTON VILLA 0 TOTTENHAM 2

Jose Mourinho tidak henti tertanya-tanya mengapa tindak balas Tottenham seperti ketika menentang Aston Villa, awal pagi tadi, tidak menjelma pertengahan minggu lalu bagi menyelamatkan kempen Liga Europa mereka.


Pengurus Spurs itu membidas barisan pemainnya selepas tewas 0-3 kepada Dinamo Zagreb, Jumaat lalu, dalam perlawanan yang dia mengharapkan kebangkitan anak buahnya.

Kunjungan ke Croatia susulan kekalahan 'derby London utara' kepada Arsenal tidak seperti yang diharapkan apabila Tottenham mensia-siakan bekalan dua gol pertama dipadamkan Dinamo dalam pertemuan timbal balik.

Lantaran itu, kejayaan menjinakkan 2-0 di Villa mengundang kegembiraan pengendali Portugis itu yang rimas dengan kekecewaan minggu lalu.

"Saya sangat gembira dengan keputusan, saya sangat gembira dengan mutu persembahannya, saya sangat gembira dengan sikap mereka," katanya dalam sidang akhbar.

"Saya cuma tidak seronok bahawa jika mereka mampu melakukannya malam ini, mengapa tidak melakukannya 48 jam yang lalu? Perlawanan pada Jumaat lalu itu akan menjadi luka yang berbekas untuk tempoh yang lama.

"Ia tidak akan sembuh hanya kerana kami menang tetapi saya mahu memberi penghargaan penuh kepada pemain. Mereka adalah sebuah pasukan. Mereka berjuang bersama-sama."

Mourinho menyifatkan kemenangan itu sebagai "reaksi lelaki sejati", namun hanya empat daripada kesebelasan utama beraksi menentang Dinamo dikekalkan dalam pasukan.

Ia menjadi rombakan yang membuahkan hasil selepas Harry Kane dan Lucas Moura turut dikekalkan dalam barisan utama. Mereka bergandingan untuk Kane menyempurnakan satu daripada empat peluang yang dicetuskan Moura.

Sementara itu, Carlos Vinicius turut melakar nama selaku penjaring menerusi ledakan pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL).





Mourinho juga memilih untuk memuji barisan pertahanan.

Japhet Tanganga, yang diletakkan sebagai bek kanan, lima kali mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, melakukan dua hadangan, satu terjahan dan memintas selain prestasi memberangsangkan Joe Rodon.

Mourinho menjelaskan: "Saya menganggap kami memerlukan pemain yang dalam kemarahan, kami memerlukan perasaan segar dan positif.

"Kami memerlukan pemain di bangku simpanan untuk menghidupkan impian, tonggak yang jika diturunkan 10 saat sekalipun akan beraksi umpama detik terakhir dalam karier mereka.

"Saya memerlukan pemain di atas padang yang saya tahu perlawanan itu akan menjadi sangat penting buat mereka. Tanganga dan Rodon adalah pemain jenis ini."

Kemenangan selesa itu bermakna Mourinho masih boleh mengelak kekalahan liga ke-10 musim ini -- satu pencapaian buruk yang tidak dihajati dan belum pernah dicapainya sebelumnya ini -- tetapi pengurus tersebut memaklumkan kepada Sky Sports bahawa dia tidak akan mengalami kekecewaan dengan sikap seperti itu dipamerkan dalam kempen ini.

"Saya mahu berbangga dengan pemain saya tanpa mengira apa jua keputusannya," katanya.

"Sepanjang karier ini, saya berkali-kali tetap berasa megah dengan kekalahan anak buah saya.

"(Tetapi) saya tidak bangga pada Jumaat lalu dan saya tidak bangga di Emirates. Saya mahu selalu berbangga dengan mereka sungguhpun kami kecundang.

"Pada saat ini saya tidak begitu memikirkan tentang kedudukan kami, soal perlawanan akhir (Piala Liga Inggeris). Saya mahu terus berusaha mengembangkan semangat yang kami perlukan."