Harry Maguire digugurkan daripada skuad England bagi menghadapi saingan Liga Negara-Negara Eropah bulan depan.

Kapten Manchester United itu didapati bersalah melakukan serangan serius, mengelak daripada ditahan dan percubaan berkali-kali melakukan rasuah dalam satu perbicaraan di Greece.

Maguire dihadapkan ke mahkamah bersama dua tertuduh lain di Kepulauan Syros selepas terlibat dalam satu pergelutan dengan anggota polis dalam percutiannya di Mykonos.

Maguire, yang terpaksa menginap selama dua malam di dalam tahanan, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ke atasnya tetapi tiga panel di mahkamah berkenaan memutuskan sebaliknya.

Pertahanan tengah itu mengekalkan pendiriannya dan United mengesahkan pihak perundangan pemain itu akan mengemukakan rayuan untuk mencabar keputusan berkenaan selepas permohonan untuk menangguhkan kes itu ditolak mahkamah.

Menjelang pengumuman mengenai keputusan perbicaraan itu, Maguire disenaraikan oleh Gareth Southgate bagi menghadapi perlawanan menentang Iceland dan Denmark bulan depan.

Pengurus itu berkata bahawa dia tiada sebab untuk tidak mempercayai apa yang dijelaskan Maguire tetapi memberikan gambaran bahawa pendiriannya mungkin berubah bergantung kepada keputusan perbicaraan berkenaan.

Dalam kenyataan lanjut yang dikeluarkan Persatuan Bolasepak England (FA), Southgate berkata: "Bagi menjelaskan mengenai perkembangan terbaru petang ini, saya boleh mengesahkan bahawa Harry Maguire akan digugurkan daripada skuad England bagi perlawanan menentang Iceland dan Denmark.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, saya mempunyai hak untuk melihat terlebih dahulu keadaan semasa.

"Selepas berbincang dengan Manchester United dan pemain itu, saya melakukan keputusan ini bagi kepentingan semua pihak dan dengan mempertimbangkan kesannya terhadap persiapan kami minggu depan," katanya.

Yoannis Paradissis, peguam yang membantu pendakwaan dalam kes itu, memaklumkan kepada Sky News bahawa mangsa masih menantikan permohonan maaf.

"Anggota polis yang saya wakili hanya menjalankan tugas mereka sesuai dengan prosedur yang ada," kata Paradissis.

"Pasukan pembelaan menuduh anggota polis ini melakukan kekejaman dan tidak melakukan tugas mereka dengan betul.

"Kerana itulah mereka cuba untuk membenarkan serangan yang dilakukan ke atas anggota polis ini.

"Kami benar-benar terkejut dengan tindakan itu. Kami berasakan ia satu tingkah laku yang tidak sesuai buat seorang ahli sukan dan mereka langsung tidak memohon maaf.

"Jika mereka katakan yang mereka sangat menyesal dengan apa yang terjadi, saya tidak fikir ia akan sampai ke tahap ini.

"Ahli keluarga Maguire dan tertuduh yang lain tidak mohon (untuk) meminta maaf. Selain itu, tuduhan seperti ini merupakan satu kekejaman buat mereka (anggota polis)," katanya.

Dia menambah: "Saya marah kerana di sini terdapat empat polis muda yang tidak mempunyai sebab untuk berbohong mengenai Maguire, bahkan, ada antara mereka yang langsung tidak mengenalinya.

"Pasukan pembelaan menuduh anggota polis tidak melakukan tugas mereka dengan sepatutnya dan disebabkan itu dia bertindak sedemikian.

"Tetapi sudah pasti ia tidak dapat diterima di dalam mahkamah dan mahkamah -- pada pendapat saya sebagai satu tindakan yang tepat -- mensabitkannya dengan kesemua pertuduhan itu.

"Dan apa yang tunggu-tunggu mereka adalah permintaan maaf, kerana mereka terkejut dengan tingkah lakunya. Dia mungkin boleh berada di sini tetapi dia tidak melakukannya.

"Di mahkamah, pasukan pembelaannya ada menyatakan bahawa dia adalah seorang suri teladan yang terkenal.

"Bagi saya, anggota polis muda yang menjadi mangsa dalam situasi ini, mereka tidak melihatnya sebagai sesuatu yang sesuai dilakukan oleh ahli sukan. Bukan seperti seorang suri teladan, pastinya.

"Dan saya berpendapat, buat ahli sukan, apabila anda melakukan sesuatu yang salah -- yang mana ia boleh berlaku -- anda perlu mengatakan bahawa anda menyesal dan meminta maaf.

"Hari ini, kami tidak mendengar satu pun permintaan maaf dari pihaknya dan inilah yang membuatkan kami lebih marah berbanding perkara lain.

"Kami masih menunggu permintaan maaf. Itu sahaja yang mereka tunggu," katanya lagi.

Satu kenyataan yang dikeluarkan United pula berkata: "Manchester United menyedari keputusan yang diputuskan mahkamah di Greece.

"Harry Maguire mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan ke atasnya dan pendiriannya tidak berganjak.

"Harus diambil kira bahawa pihak pendakwaan mengesahkan pertuduhan itu dan mengemukakan bukti mereka pada hari sebelum perbicaraan yang hanya memberikan pasukan pembelaan waktu yang minimum untuk menerima dan bersedia.

"Permohonan untuk penangguhan kes itu kemudian ditolak.

"Atas dasar ini, bersama sejumlah bukti yang menafikan tuduhan berkenaan, pasukan perundangan Harry Maguire akan mencabar keputusan itu untuk memungkinkan satu perbicaraan penuh diadakan pada tarikh akan datang," katanya.