Mohamed Salah tidak gembira di Liverpool dan pasukan gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang mempertimbangkan untuk menjual pemain bintang berkenaan, kata bekas rakan sepasukannya dalam skuad kebangsaan Mesir, Mohamed Aboutrika.

Salah, yang membintangi pasukan itu sejak tiba di Anfield pada 2017, tidak menafikan keinginannya untuk berpindah ke Real Madrid atau Barcelona dalam satu temu bual terbaru bersama AS.

Penyerang itu turut dikatakan kecewa kerana tidak diberikan peranan sebagai ketua pasukan Liverpool dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Midtjylland awal bulan ini.

Aboutrika, yang pernah melakukan 100 penampilan buat Mesir, berkata Salah sudah tidak gembira di Liverpool.

"Saya menghubungi Salah mengenai situasinya di Liverpool dan dia kecewa, namun ia tidak pernah menjejaskan prestasinya di atas padang," katanya kepada beIN SPORTS.

"Saya tahu Salah tidak gembira di Liverpool, dia memberitahu saya sebab dia tidak gembira dan ia rahsia yang saya tidak boleh dedahkan kepada umum.

"Salah satu sebabnya adalah Salah berang kerana dia tidak dipilih sebagai kapten ketika menentang Midtjylland," katanya.

Salah menyertai Liverpool daripada Roma dengan perpindahan yang dilaporkan bernilai £36.9 juta (RM199.4 juta) pada pertengahan 2017.

Aboutrika percaya pasukan juara bertahan EPL itu sedang mempertimbangkan untuk menjual penyerang berusia 28 tahun berkenaan.

"Pada pandangan saya, Liverpool sedang berkira-kira untuk menjual Salah bagi tujuan ekonomi," katanya.

Salah telah menjaringkan 110 gol sepanjang 173 penampilan bersama Liverpool, termasuk 16 daripada 21 perlawanan musim ini.

Dia juga membantu kelab itu memenangi gelaran EPL, UCL, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab.