Liga Super Eropah: Arsenal, Liverpool, United, Spurs sah tarik diri

By Muzaffar Musa 21 April 2021 2440
Liga Super Eropah: Arsenal, Liverpool, United, Spurs sah tarik diri
Arsenal, Liverpool, Manchester United dan Tottenham kesemuanya mengesahkan penarikan diri mereka daripada Liga Super Eropah.

Ahad lalu, enam pasukan terbesar England diumumkan akan menyertai Liga Super Eropah di samping Real Madrid, Barcelona, Atletico Madrid, Juventus, AC Milan dan Inter Milan.

Bagaimanapun, kurang 48 jam selepas perancangan itu diumumkan, kejohanan itu kelihatan semakin menemui kegagalan apabila pasukan Inggeris yang terlibat mula melakukan pusingan U.

Manchester City merupakan pasukan pertama mendedahkan mengenai keputusan mereka menarik diri manakala Chelsea pula turut membayangkan perkara sama walaupun masih belum ada sebarang pengumuman rasmi dikeluarkan.

Arsenal, Liverpool, Spurs dan United -- yang terdahulu mengesahkan eksekutif, Ed Woodward, akan meninggalkan kelab itu pada penghujung 2021 -- kemudian mengeluarkan satu kenyataan serentak bagi menamatkan hubungan mereka dengan kejohanan berkenaan.
 
United dan Liverpool mengeluarkan kenyataan ringkas dan menjelaskan mengenai input daripada 'pemegang taruh utama' tetapi tiada sebarang permohonan maaf diutarakan. 

Jurucakap The Reds berkata: "Kelab Bolasepak Liverpool boleh mengesahkan bahawa penglibatan kami dalam perancangan menubuhkan Liga Super Eropah tidak akan diteruskan.

"Beberapa hari ini, kelab ini telah menerima wakil daripada pelbagai pemegang taruh utama, secara dalaman dan luaran, dan kami mahu berterima kasih atas sumbangan yang amat bernilai dari mereka."

The Red Devils menambah: "Manchester United tidak akan menyertai Liga Super Eropah. Kami telah mendengari dengan sebaiknya reaksi daripada penyokong kami, kerajaan UK (United Kingdom) dan pemegang taruh utama lain.

"Kami kekal komited untuk bekerjasama dengan pihak lain dalam komuniti bola sepak bagi mendapatkan penyelesaian berkekalan dan cabaran jangka panjang dalam sukan ini."

Bagaimanapun, Arsenal dan Tottenham menawarkan respons yang lebih bertimbang rasa dengan lembaga pengarah The Gunners turut menulis surat terbuka buat penyokong mereka.

Ia tertulis: "Beberapa hari lalu telah menunjukkan kami betapa mendalamnya perasaan penyokong kita di seluruh dunia untuk kelab hebat ini dan sukan yang kita gemari. 

"Kami tidak perlu diingatkan tentang hal ini tetapi sambutan daripada penyokong dalam beberapa hari ini telah memberikan kami masa untuk renungan dan pemikiran yang lebih mendalam.

"Bukan niat kami untuk menimbulkan masalah seperti itu tetapi ketika undangan untuk bergabung dengan Liga Super hadir, walaupun mengetahui tidak ada jaminan, kami tidak ingin ketinggalan untuk memastikan kami dapat melindungi Arsenal dan masa depannya.

"Sebagai hasil daripada mendengarkan anda dan komuniti bola sepak yang lebih luas sejak beberapa hari ini, kami menarik diri daripada Liga Super yang dirancang itu. Kami melakukan kesilapan dan kami memohon maaf atasnya."
 
Dan pengerusi Spurs, Daniel Levy, juga mengakui masalah yang ditimbulkan mereka kepada penyokong dan seluruh komuniti bola sepak.

Dia berkata: "Kami menyesal dengan kegelisahan dan kekacauan yang disebabkan oleh cadangan ESL. Kami berasakan bahawa penting untuk kelab kita mengambil bahagian dalam pembangunan struktur baru yang mungkin bertujuan untuk memastikan permainanan yang adil dan kelangsungan kewangan lebih baik sambil memberikan sokongan yang meningkat secara signifikan untuk piramid bola sepak yang lebih luas.

"Kami percaya bahawa kami tidak boleh berdiam dan sukan ini harus sentiasa mengkaji pertandingan dan tadbir urus untuk memastikan sukan yang kita semua gemari ini terus berkembang dan menggembirakan peminat di seluruh dunia. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong yang menyampaikan pendapat mereka. "
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment