Frank Lampard kecewa apabila pasukannya terperangkap dengan serangan balas Wolves sambil mengakui pasukannya tidak cukup bagus sehingga tewas 1-2 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Molineux awal pagi tadi.

Gol keenam daripada empat perlawanan di laman lawan oleh Olivier Giroud memberikan skuad The Blues itu pendahuluan bagi memburu kemenangan yang mungkin meletakkan mereka di puncak EPL.

Bagaimanapun, Daneil Podence kemudian menyamakan kedudukan buat Wolves dan ketika Chelsea memburu jaringan kemenangan pada lewat permainan, Pedro Neto melakukan larian kencang untuk melakukan penyudah pada minit ke-95 -- rekod bolos paling lewat Chelsea sejak musim 2006-07.

"Kami tidak bermain dengan cukup baik. Ia semudah itu," kata Lampard, yang turut berasakan pasukan pelawat itu mengawal permainan dengan baik ketika kedudukan 1-0.

Akan tetapi, kegagalan menangani Wolves selepas waktu rehat dengan taktikal yang sudah diketahui mereka menjadi punca kekecewaan itu.

"Kami dihadapkan dengan permainan berbeza dalam dua perlawanan terakhir ini, terutama ketika Everton menyukarkan kami untuk menjaringkan gol dan kami tidak berjaya dalam hal itu.

"Wolves kerap bermain dengan gaya serangan balas dalam perlawanan ini -- bukan itu sahaja -- tetapi kami gagal mengekangnya.

"Pemain perlu berasakannya di atas padang kerana mesejnya amat jelas mengenai serangan balas pantas itu dan isunya adalah ia boleh memudaratkan kami. Jadi, ia agak mengecewakan," katanya.


Ia merupakan kekalahan kedua berturut-turut mereka sejak tumpas 0-1 kepada Everton -- kali pertama Chelsea tewas dua perlawanan liga berturut-turut sejak 12 bulan lalu.

Lampard, yang berharap Hakim Ziyech dan Callum Hudson-Odoi akan kembali menyertai sesi latihannya minggu ini, berkata "mungkin terdapat keletihan" dan Chelsea "Tidak mempunyai kekuatan seperti biasa" selepas gagal merekodkan sebarang percubaan tepat sebelum Giroud membuka jaringan dalam babak kedua.

Tetapi dia juga mengakui Chelsea tidak perlu terkejut untuk tewas apabila tidak beraksi di tahap sebenar.

Dengan akan berdepan West Ham dalam 'derby' London yang seterusnya, Lampard ditanya sama ada kekalahan itu akan menjadi permulaan kemerosotan mereka.

"Ia terpulang kepada kami," jawabnya. "Kami merekodkan keputusan tanpa tewas dengan agak panjang, semua orang memberikan kami pujian. Saya orang terakhir melakukannya.

"Ia tugas saya untuk terus memimpin dalam apa jua situasi, jadi saya seharusnya tidak kecewa malam ini, sama seperti saya tidak terlalu gembira selepas perlawanan menentang Leeds ketika kami berada dalam prestasi yang agak baik.

"Tetapi amat jelas, apabila kami beraksi seperti hari ini, ia tiada pengurusan permainan, ia bukan tahap kualiti yang kami mahukan.

"Saya fikir kami perlu melakukan banyak penambahbaikan dalam pasukan ini, jadi saya tidak akan kata yang saya benar-benar terkejut.

"Pengalaman saya dalam EPL meninjukkan apabila anda menurunkan tahap anda, di mana ia berlaku dalam dua perlawanan terakhir kami, terutama di gelanggang lawan, anda boleh tewas dalam perlawanan. Ia satu pengajaran yang besar buat pemain kami," katanya.