Jose Mourinho tidak dinafikan merupakan pengurus terulung dalam bola sepak kerana hanya memikirkan mengenai keputusan tanpa menghiraukan kritikan mengenai corak permainannya, kata Jurgen Klopp.

Tottenham kini di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan berkelebihan satu anak tangga di depan juara bertahan, Liverpool, berdasarkan perbezaan jaringan menjelang perlawanan di Anfield awal pagi esok, di mana Spurs hanya menang sekali sepanjang 26 kunjungan ke laman lawan itu.

Skuad kendalian Mourinho itu telah melewati 11 perlawanan liga tanpa kalah sejak tewas kepada Everton dalam perlawanan pertama, di mana mereka turut menewaskan Manchester United, Manchester City dan Arsenal selain mengikat Chelsea sepanjang proses itu.

Spurs hanya memegang 30 peratus penguasaan bola dalam aksi terakhir bertemu Arsenal tetapi masih mampu mengungguli pertemuan 'derby' London itu dengan kemenangan 2-0 hasil sentuhan Son Heung-min dan Harry Kane.

Mereka akan berada dalam kelompok pertengahan seandainya purata peratusan penguasaan bola menjadi ukuran -- 50 peratus penguasaan -- tetapi Mourinho berulang kali menegaskan bahawa dia tidak kisah seberapa banyak pasukannya dapat menguasai bola.

Klopp, yang menyifatkan Tottenham sebagai "mesin pencipta keputusan baik" di bawah kendalian Mourinho, bersetuju dengan pendekatan pengurus berbangsa Portugis itu meletakkan keputusan perlawanan sebagai aspek paling penting.

"Mourinho sudah berada di sini sejak sekian lama dan telah menggunakan kesemua sistem berbeza, banyak cara yang berbeza," kata Klopp

"Sebagai jurulatih, anda perlu menyesuaikan diri dan mengadukkannya -- itu salah satu kemahiran terbaik Jose Mourinho

"Pada akhirnya, ia tentang memperoleh keputusan yang baik, mungkin itu juga kemahiran terbaik Jose. Pada waktu seperti ini, dia tidak kisah mengenai cara, hanya keputusan dan itulah yang menjadikannya sebagai salah seorang pengurus terbaik di sini. Saya amat menghormatinya," katanya.

Ditanya sama ada Mourinho telah memulihkan reputasinya sejak meninggalkan Manchester United, Klopp dengan nada bergurau berkata: "Saya tidak tahu. Ia nampak seperti itu jika anda melihatnya dalam Instagram!

"Selain daripada itu, dia telah membuktikan bahawa dia mempunyai pengalaman untuk melakukan apa yang perlu dilakukannya. Dia meminta masa dan amat jelas bahawa ia sesuatu yang berbaloi," katanya lagi.