Pemain sayap Liverpool, Mohamed Salah, menyedari ketiadaan rakan sepasukan, Sadio Mane, gara-gara ditimpa kecederaan, pasti akan dirindui seluruh kem The Kop.

Mane mengalami kecederaan hamstring ketika beraksi untuk Senegal dan dijangka kembali beraksi bulan depan.

Larian pantas yang dimiliki bekas pemain Southampton itu menjadi kunci utama buat Liverpool, sekaligus membuatkan tanggungjawab itu kini digalas seorang diri oleh Salah apabila melayani kunjungan Manchester United, esok.

"Saya menghantar pesanan ringkas kepadanya ketika bersama skuad kebangsaan. Dia memberitahu bahawa dia mengalami kecederaan dan ia adalah berita buruk buat semua," kata Salah kepada Liverpool Echo.

"Inilah bola sepak dan segala-galanya boleh berlaku. Kini kami fokus kepada perlawanan. Perlawanan esok adalah aksi yang penting.

"Semua orang di dunia akan menyaksikan perlawanan itu. Ia perlawanan besar buat kami kerana perlu memperbaiki keputusan dan saya berharap kami mampu menang.

"Kami sentiasa berjuang dalam setiap perlawanan tetapi aksi kali ini lebih besar dan mampu memberikan impak besar kepada kami. Kami harus mengubah kedudukan kami dalam liga. Perlu terus bertarung dan memenangi perlawanan," katanya.

Liverpool hanya memenangi satu perlawanan dalam empat aksi terakhir dalam liga dan kini menduduki tangga ketujuh, ketinggalan tujuh mata di belakang pendahulu bersama, Manchester United dan Manchester City.