Pep Guardiola menegaskan adalah tidak masuk akal bagi pemain yang harus dikuarantin sebaik kembali ke United Kingdom (UK) selepas beraksi di peringkat antarabangsa akhir bulan ini.

Sehubungan itu, Manchester City tidak berhajat melepaskan beberapa pemainnya.


Sekatan perjalanan berikutan langkah mengekang COVID-19 sedang dikuatkuasakan sementara Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) telah memperkenalkan kaedah yang belum pernah diketengahkan sebelum ini, iaitu memberi hak kepada kelab untuk melarang pemain mereka melaporkan diri bersama pasukan kebangsaan sekiranya perlawanan itu bermaksud mereka perlu menjalani tempoh kuarantin selama lima hari atau lebih sejurus kembali ke kelab.

Di UK, sesiapa yang melancong ke negara 'zon merah' perlu mengasingkan diri selama 10 hari sebaik kembali dan atlet elit juga tidak terkecuali.

Senarai ini merangkumi seluruh Amerika Selatan dan bahagian Afrika.

Portugal, satu-satunya negara Eropah dalam senarai itu, berusaha mengurangkan kesannya dengan memindahkan aksi kelayakan Piala Dunia 2022 menentang Azerbaijan pada 24 Mac depan ke Turin.



Walaupun sedia melepaskan trio; Bernardo Silva, Joao Cancelo dan Ruben Dias, Guardiola tidak akan membenarkan hal serupa kepada penyerang Argentina, Sergio Aguero, pemain sayap Algeria, Riyad Mahrez dan kontinjen Brazil, Ederson, Fernandinho dan Gabriel Jesus.

"Kami belum bercakap lagi. Kami akan menunggu sehingga selepas perlawanan menentang United ini dan saya yakin minggu depan kami akan mula membincangkannya," katanya dalam sidang media menjelang 'derby Manchester', awal pagi Isnin ini.

"Tetapi saya rasa adalah tidak masuk akal jika pemain menyertai pasukan kebangsaan, kemudian harus mengasingkan diri selama 10 hari sebaik kembali. Ia tidak masuk akal.

"Kami bekerja keras selama tujuh, lapan atau sembilan bulan dan selepas rehat antarabangsa ini, cabaran sebenar musim ini akan bermula dan pemain penting tidak boleh beraksi selama 10 hari? Tidak masuk akal.

"Mereka tidak akan mengikuti perlawanan antarabangsa. Itu pasti. Sekiranya boleh beraksi dengan pasukan kebangsaan dan terus kembali ke latihan, maka mereka akan terbang.

"Kami melaburkan banyak masa dan wang untuk bahagian penting musim ini dan jika enam, tujuh, lapan pemain tidak dapat memperkuatkan kami, ia tidak masuk akal."

Liverpool dan United antara pasukan terawal yang mahu menyekat bintang mereka daripada menyertai pasukan kebangsaan pada hujung bulan ini.