Giroud dedah hampir tinggalkan The Blues Januari lalu 

By Shaiful Shamsudin 3 June 2020 79
Giroud dedah hampir tinggalkan The Blues Januari lalu 
Olivier Giroud mengakui bahawa dia hampir meninggalkan Chelsea ketika jendela perpindahan Januari lalu sebelum melanjutkan kontraknya dengan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu. 

Giroud dikaitkan dengan kelab Serie A, Inter dan Lazio, tetapi bulan lalu menandatangani perjanjian baru yang akan mengekalkannya hingga akhir musim depan.

Penyerang berusia 33 tahun itu mendedahkan dia hampir meninggalkan Stamford Bridge sebelum menerima jaminan daripada pengurus, Frank Lampard.

"Saya sepatutnya berpindah Januari lalu kerana saya kurang diberi peluang untuk beraksi dan saya memerlukan lebih banyak masa permainan dalam usaha mewakili skuad Perancis dalam Euro 2020," katanya kepada laman sesawang kelab itu.

"Saya hampir meninggalkan kelab ini tetapi saya fikir ia adalah takdir untuk saya terus kekal di Chelsea.

"Pengurus memberitahu bahawa dia tidak boleh membiarkan saya berhijrah memandangkan dia tidak mempunyai sesiapa untuk menggantikan saya. Semua orang tahu apa yang berlaku jadi saya tidak akan membantahnya. Pengurus bercakap dengan saya secara peribadi dan memberitahu saya bahawa dia menawarkan lebih banyak khidmat saya dalam perlawanan.

"Dia sering menepati janjinya dan apa yang penting bagi saya ialah membuktikan kepadanya bahawa dia boleh mengharapkan saya apabila dipanggil."


 

Giroud menyertai Chelsea daripada Arsenal pada 2018 dan telah membantu kelab itu menjuarai Liga Europa dan Piala FA.

Penyerang antarabangsa Perancis itu juga berhasrat untuk memenangkan lebih banyak gelaran bersama Chelsea sambil berkata dia gembira di London.

"Saya mahu terus memenangi piala dan saya mahu terus membuktikan kepada pengurus bahawa dia boleh bergantung kepada saya," katanya lagi. 

"Selain itu, berikutan COVID-19, saya tidak begitu selesa dengan idea untuk berpindah ke luar negara bersama keluarga saya. Saya banyak memikirkan tentang kualiti hidup kami dan kami mempunyai persediaan yang hebat di sini. 

"Saya lebih banyak mempertimbangkan soal keluarga saya ketika ini."

 

About Author

Shaiful Shamsudin

Comment