Ole Gunnar Solskjaer percaya bilik persalinan Manchester United "telah dibawa ke arah kejayaan" oleh Bruno Fernandes, Edinson Cavani dan Paul Pogba.

United kini berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan 40 mata, berkelebihan enam mata di depan Liverpool, yang akan berdepan mereka dalam perlawanan pusingan keempat Piala FA awal pagi esok -- seminggu selepas terikat 0-0 di Anfield.

Liverpool lebih kerap disingkirkan daripada Piala FA oleh United berbanding mana-mana lawan lain walaupun The Red Devils tewas dua daripada tiga perlawanan terakhir dengan skuad The Reds itu dalam kejohanan berkenaan.

Faktor utama kejayaan United sejak akhir-akhir ini adalah Fernandes, yang telah menjaringkan 19 gol dan mencipta 14 bantuan jaringan daripada 33 penampilan liga sejak menyertai pasukan itu daripada Sporting CP tahun lalu.

Dalam pada itu, pemain veteran,Cavani, telah menemui sasaran sebanyak lima kali dalam kesemua kejohanan musim ini sejak menyertai pasukan itu dengan status ejen bebas Oktober lalu manakala pemain termahal United, Pogba, telah mempamerkan kebangkitan luar biasa daripada permulaan sukar musim ini, terutama ketika menjaringkan gol kemenangan ke atas Fulham dalam aksi terakhir mereka.

Terdorong dengan prestasi Fernandes, Cavani dan Pogba, Solskjaer dapat melihat pasukannya menghadapi satu peribahan mentaliti secara drastik sambil membandingkan pengaruh tiga pemain itu dengan bekas rakan sepasukannya, Roy Keane, Garry Neville dan Ryan Giggs.

"Saya fikir itulah yang berlaku kepada pasukan ini dan itulah yang saya fikirkan apabila mahu membawa masuk pemain baru," kata Solskjaer dalam sidang media.

"Anda bukan hanya mencari bakat besar tetapi anda perlu mengkaji perwatakan mereka sebanyak yang boleh untuk memperoleh pilihan yang tepat.

"Kerana akan sentiasa ada pemain yang berfikir 'terdapat perlawanan minggu depan dan saya masih dapat gaji'. Mentaliti seperti itu yang kita perlu elakkan.

"Saya mahu pemain untuk datang ke sini bagi melangkaui batasan mereka, tahap mereka dan mendorong kami dari dalam. Ia tidak boleh hanya datang dari luar.

"Dengan pemain seperti Bruno, Edinson dan Paul Pogba, saya berasakan seperti memiliki bilik persalinan yang didorong ke arah kejayaan. Ia menjadikan tugas saya lebih mudah -- 100 peratus.

"Apabila anda bercakap, anda perlu melakukannya. Kami mempunyai pemain seperti itu ketika saya masih bermain -- Roy Keane, Gary Neville, Ryan Giggs -- mereka mendorong kami.

"Apa mereka bercakap, anda sedar anda tidak mampu untuk mempertikaikannya kerana anda tahu mereka melakukannya setiap hari.

"Itukah yang kami perlukan daripada pemain. Ramai di antara kita pernah berada di bilik persalinan di mana ada pemain yang bercakap -- tetapi anda berfikir apa yang mereka cakapkan?

"Mereka hanya bercakap tetapi tidak melakukannya. Tetapi dengan pemain yang kita sedang bincangkan -- Pogba dan Cavani dan Bruno -- mereka berada di tahap itu, mereka tahu apa yang diperlukan dan dimahukan daripada rakan sepasukan mereka," katanya.