Eriksen akur waktu paling sukar di Spurs

By Staff Writer 9 October 2019
Eriksen akur waktu paling sukar di Spurs
Christian Eriksen mengakui sedang melalui waktu paling sukar sepanjang kariernya di Tottenham Hotspur, namun menegaskan ia tiada mengena dengan khabar angin mengenai masa depannya dalam jendela perpindahan lalu.

Spurs menuju ke waktu rehat antarabangsa dengan minggu terburuk apabila tewas 0-3 kepada Brighton and Hove Albion dalam Liga Perdana selepas dibelasah 2-7 oleh Bayern Munich dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Selepas lapan perlawanan liga, Tottenham ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu, Liverpool, dan timbul persoalan mengenai masa depan pengurus pasukan, Mauricio Pochettino.

Eriksen merupakan salah seorang daripada pemain Spurs yang dikaitkan untuk meninggalkan kelab itu sewaktu jendela perpindahan lalu dengan Real Madrid, Juventus dan Paris Saint-Germain (PSG) antara yang dilaporkan berminat mendapatkannya.

Pemain kebangsaan Denmark itu menegaskan spekulasi berkenaan tidak akan mendatangkan kesan terhadap prestasi pemain di atas padang.

"Ia tiada kena-mengena langsung. Kami semua profesional dan dalam setiap kelab, pasti akan ada cakap-cakap mengenai pemain yang akan meninggalkan pasukan," katanya kepada media Denmark, Ekstra Bladet.

"Perkara seperti itu tiada kaitan dengan bagaimana persembahan kami setakat ini dalam musim ini.

"Jika saya sebagai pemain bola sepak mengambil kira semua khabar angin itu, saya akan terapung di awang-awangan.

"Tetapi saya sedar ia tidak semuanya betul. Ia tidak akan menjejaskan saya berdasarkan apa yang ditulis," katanya.

Eriksen berkata Tottenham, yang juga finalis Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, sedang berdepan jangkaan di tahap yang berbeza berbanding ketika dia menyertai pasukan itu daripada Ajax pada 2013.

"Ia sudah pasti waktu paling sukar buat saya di Tottenham.

"Tahun pertama saya di sini, prestasi kami agak turun-naik, namun selepas Pochettino datang pada 2014, ia cerita tentang kejayaan.

"Sekarang, harapan yang diletakkan kepada kami sudah berada di tahap yang berbeza.

"Kami perlu menang setiap masa dan itulah perasaan yang kami ada sebagai pemain.

"Kami, sebagai pemain, perlu menyingkirkan segala perkara negatif.

"Tetapi punca terhadap keputusan yang kami peroleh masih terlalu sukar untuk dijawab.

"Kami tidak dapat menamatkan permainan biarpun kami sedang mendahului.

"Tetapi kami juga tidak bernasib baik," tambahnya.

About Author

Staff Writer

Comment