CHELSEA 2 FULHAM 0

Thomas Tuchel menghamburkan pujian terhadap Kai Havertz kerana menambah sakit di kepalanya menjelang perlawanan separuh akhir kedua Liga Juara-Juara (UCL) di antara Chelsea dan Real Madrid.


Pemain tengah menyerang itu menyajikan satu persembahan jitu ketika mengetepikan cabaran Fulham, awal pagi tadi.

Havertz menghasilkan gol dalam setiap babak ketika Chelsea mengecapi kemenangan 2-0 untuk enam mata mengatasi West Ham bagi mengukuhkan tempat di kedudukan empat teratas sambil pasukan bimbingan David Moyes itu berkelebihan satu perlawanan.




Pemain Jerman itu bermula di bangku simpanan ketika mereka seri 1-1 dengan Madrid tetapi mungkin memberi masalah kepada Tuchel bagi menamakan barisan terbaiknya dalam aksi timbal balik di Stamford Bridge, Khamis depan, apabila mencetak gol berganda pertamanya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas sekadar mencetak dua gol dalam 24 penampilan.

"Masih ada ruang terhadap peningkatannya tetapi untuk hari ini, saya sangat gembira," kata pengurus itu dalam sidang media.

"Dia mampu menjadi penentu perlawanan, dia terlibat dengan gerakan Timo Werner sebagai penyerang berganda sementara dengan kehadiran Mason Mount dan Hakim Ziyec, mereka mampu membentuk empat penyerang serangkai. Dia sering terlibat dalam serangan dan situasi berbahaya.

"Bagi saya, ia adalah satu contoh individu atas apa yang pernah saya jelaskan. Pemain yang beraksi hari ini mungkin berdepan keputusan yang sukar pada Rabu lalu tetapi mereka tidak menyuarakannya atau seperti Kai hari ini -- tidak mempersoalkan mengapa khidmat mereka tidak digunakan mahupun menuntut untuk diturunkan lebih lama ketika di Madrid.

"Ini kerana dia mengambil kesempatan yang diberikan. Inilah yang kami perlukan sepanjang masa, khususnya dalam situasi seperti ini tatkala saya memerlukan pemain yang komited sepenuhnya.

"Ini bererti jika anda berpeluang ketika membuat kemunculan, maka buktikannya. Jika anda mempunyai lima minit, 15 minit atau keseluruhan perlawanan sekalipun, ia menunjukkan bahawa anda sudah bersedia dan membuatkan saya sakit kepala untuk perlawanan berikutnya."

Ketika ditanya apakah kedudukan empat teratas sudah kukuh, Tuchel menjawab: "Tidak, saya rasa kami tidak akan rugi apa-apa. Kami masih berada di pertengahan saingan.

"Saya fikir ia akan berlanjutan tetapi ini adalah satu perlawanan getir untuk mengekalkan kelebihan, kami telah bekerja keras pada minggu lalu dan seperti yang saya katakan, adalah sangat penting untuk kami mempunyai fikiran yang jelas dan tidak perlu menyesal untuk perlawanan Khamis ini."