Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengesahkan akan mengumumkan keputusan mengenai Manchester City dan rayuannya daripada penggantungan dalam Liga Juara-Juara Eropah pada Isnin ini.

Badan yang berpangkalan di Switzerland itu mengesahkan keputusan itu akan dikeluarkan pada pagi Isnin ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

Proses pendengaran City di CAS bermula sejak 6 Jun lalu dan ditamatkan dua hari kemudian, dengan prosiding itu dijalankan melalui panggilan video.

Kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu sedang berusaha untuk mencabar keputusan Kesatuan Bolasepak Eropah (UEFA) yang menggantung mereka daripada sebarang kejohanan di peringkat Eropah selama dua tahun selain denda €30 juta (RM144.5 juta) kerana didapati bersalah melanggar undang-undang Financial Fair Play (FFP).

City secara berterusan menafikan dakwaan itu, yang mula ditimbulkan melalui rangkaian artikel yang diterbitkan Der Spiegel pada November 2018, berdasarkan maklumat yang kononnya diperoleh daripada pemberi maklumat, Football Leaks.

"Kelab ini sentiasa mengetahui keperluan utama untuk mencari badan bebas dan proses untuk mempertimbangkan badan menyeluruh daripada bukti yang tidak dapat disangkal dalam menyokong kedudukannya," kata satu kenyataan segera daripada City, yang ketika itu dianggap UEFA sebagai 'gagal memberikan kerjasama' dalam siasatan itu.

Bercakap mengenai perkara itu, pengurus City, Pep Guardiola, berkata bahawa dia yakin kelabnya berpeluang untuk memperoleh kejayaan dalam rayuan itu.

"Saya amat yakin kerana saya dapat lihat hujah daripada kelab ini bahawa musim depan, kami akan berada di sana (Liga Juara-Juara Eropah)," katanya.