Gareth Bale menafikan dakwaan bahawa dia kecewa sepanjang tempoh keduanya bersama Tottenham sambil menegaskan bahawa dia "gembira sepanjang musim ini".

Bale menandakan penampilan ketiganya selaku kesebelasan utama dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) 2020-21 dengan bergaya malam tadi, menjaringkan dua gol dan menghasilkan satu bantuan jaringan dengan hantaran jauh gemilangnya ketika Spurs membelasah Burnley 4-0.

Pemain berusia 31 tahun, yang dipinjamkan daripada Real Madrid sejak September lalu, membuka jaringan seawal 68 saat pertama -- rekod paling awal Burnley dibolosi dalam EPL -- dan Bale kini sudah terlibat dengan tujuh gol dalam empat penampilan terakhirnya bersama Tottenham dalam kesemua kejohanan (empat gol dan tiga bantuan jaringan).

Ia bukanlah perjalanan yang mudah buat bintang Wales itu sejak kepulangannya di London dengan masalah kecergasannya membataskan Jose Mourinho untuk menurunkannya dalam setiap perlawanan liga.

Mourinho juga kelihatan kecewa ketika tidak dapat menurunkan Bale dalam kunjungan mereka ke laman Everton bagi perlawanan Piala FA awal bulan lalu, di mana pemain tengah itu mengalami kecederan ringan.

Bale, bagaimanapun, mendedahkan bahawa dia menikmati kepulangannya ke kelab lamanya itu, tempat di mana dia mula menjadi bintang bola sepak global.

"Ia bukan hanya sekadar menjaringkan gol. Ia tentang aksi keseluruhan kami dalam membantu pasukan," kata Bale kepada BBC Sport.

"Saya gembira dengan gol dan bantuan dan apa sahaja yang saya mampu berikan buat pasukan ini.

"Saya gembira sepanjang musim ini. Saya berasa selesa dalam bilik persalinan dan sentiasa bergembira. Saya pasti kegembiraan ini dapat dilihat di atas padang," katanya.

Selepas menjaringkan dua gol daripada tiga percubaannya selain turut membantu jaringan Harry kane ketika meletakkan Spurs 2-0 di depan, Bale kemudian dikeluarkan pada minit ke-70.

"Saya tidak kecewa apabila dikeluarkan. Banyak lagi perlawanan akan tiba. Amat penting untuk memperoleh minit dalam setiap perlawanan," tambahnya.