Pep Guardiola percaya Mikel Arteta merupakan individu paling tepat untuk mengemudi Arsenal biarpun pasukan itu bermula dengan amat buruk dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) musim 2020-21.

Arsenal tewas kepada Burnley di Stadium Emirates hujung minggu lalu dan ia merupakan kekalahan keempat berturut-turut mereka di gelanggang sendiri -- rekod terburuk sejak 1959.

The Gunners kini terperosok di tangga ke-15 dengan ketinggalan 10 mata daripada kelompok empat teratas dan hanya dibezakan lima mata daripada zon penyingkiran.

Penurunan prestasi di bawah Arteta, bekas penolong Guardiola di Manchester City, teralu ketara selepas Arsenal menamatkan kempen musim lalu selaku juara Piala FA.

Tekanan semakin memuncak buat pengurus itu, yang gagal mengeluarkan aksi terbaik pemain tonggaknya, terutama ketua pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang.

Penyerang itu, yang melanjutkan kontraknya pada awal musim ini, hanya menjaringkan dua gol dalam saingan liga selain merekodkan jaringan sendiri pertamanya bersama kelab itu ketika berdepan Burnley.

Sepanjang pergelutan Aubameyang itu, Arsenal hanya menjaringkan 10 gol daripada 12 perlawanan liga, rekod terendah mereka dalam liga divisyen utama sejak 39 tahun lalu.

Hanya Newcastle United, Burnley dan West Brom merekodkan percubaan (124) dan percubaan tepat (40) lebih rendah berbanding Arsenal tetapi Guardiola tidak jemu-jemu untuk mempertahankan Arteta.

"Arsenal tidak akan memiliki pengurus lebih baik untuk mengemudi pasukan itu musim depan selain daripadanya," kata pengurus City itu kepada wartawan.

"Saya tidak perlu memberikan sokongan saya kerana dia memilikinya dan sentiasa tahu bahawa dia memilikinya.

"Dia salah seorang pengurus terbaik yang pernah berkerjasama dengan saya, itu sudah pasti dan dapat dilihat secara jelas -- dengan perwatakannya, dengan komitmennya, rasa cintanya buat kelab itu.

"Tanpa rasa cinta itu, dia pasti masih berasa di sini.

"Saya yakin dia akan mengubah keadaan itu dan melakukannya seperti yang dimahukan semua orang.

"Adakalanya apabila pasukan melakui waktu yang tidak bagus, ia memerlukan masa. Saya sedar dalam dunia ini, (ramai berfikir bahawa) ia tidak memerlukan masa.

"Jika saya sebahagian daripada lembaga pengarah Arsenal, saya tidak mempunyai sebarang keraguan mengenai kualiti dan kemampuannya untuk meletakkan Arsenal di tempat yang sepatutnya," katanya.