PERAK 4 TERENGGANU 2

Pasukan lelaki Perak membuktikan keunggulan apabila mencipta hatrik gelaran Piala Tun Abdul Razak dengan menundukkan Terengganu 4-2.


Muhammad Haziq Samsul menggegar perlawanan akhir di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil, itu sebentar tadi apabila mencetak tiga gol buat skuad kendalian Roslan Jamaluddin berkenaan.

Terengganu yang memecah kebuntuan permainan menerusi pukulan sudut penalti pada minit pertama menerusi Faizal Saari bagaikan mengejutkan juara 2018 dan 2019 itu daripada lena untuk mengikat kedudukan pada minit ke-17.

Skuad Pantai Timur itu yang mendapatkan sentuhan Tan Beng Hai kemudian berdepan awal separuh masa kedua yang penuh berliku apabila membenarkan Haziq menokok jaringan bagi meletakkan juara bertahan itu selesa 4-1.

Walaupun cuba meningkatkan serangan di penghujung permainan, tetapi satu lagi jaringan pukulan sudut penalti daripada Faizal untuk gol peribadi ke-18 kempen itu masih belum cukup untuk pasukannya mengelak kekecewaan, seterusnya memberi laluan buat Sukri Mutalib dan rakan-rakan meraikan kejayaan musim ini.