Ketua jurulatih hoki negara, Roelant Oltmans, tidak bimbang dengan ancaman ranking dunia Malaysia merosot selepas Piala Sultan Azlan Shah dan lima aksi pemanas badan menentang Kanada dibatalkan.

Secara keseluruhan, Malaysia, ranking ke-11 dunia terpaksa membatalkan 11 perlawanan ekoran covid-19.

Sepatutnya, The Malaysian Hockey Tigers beraksi enam perlawanan pada Piala Sultan Azlan Shah dan empat aksi ujian menentang Kanada -- semuanya menawarkan mata ranking dunia.

Satu lagi perlawanan menentang Kanada bertaraf bersahabatan.

"Cabaran yang dihadapi ketika ini lebih besar daripada pertandingan hoki. Kami perlu menilai kedudukan semasa dan saya berasakan tidak perubahan dalam kedudukan ranking negara kerana tiada kejohanan yang dipertandingkan ketika ini," kata Oltmans.

Pembatalan Piala Sultan Azlan Shah bermakna, Malaysia hanya mempunyai satu kejohanan tahun ini iaitu Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

"Piala Sultan Azlan Shah adalah pertandingan yang dinantikan oleh setiap pemain negara. Ia dilihat sebagai penanda aras buat kami serta meraih rentak untuk beraksi di pentas antarabangsa," kata penjaga gol hoki negara, Mohd Hairi Abd Rahman.