Oltmans pantau anak buah dari rumah 

By Bernama 30 June 2020 31
Oltmans pantau anak buah dari rumah 
Mendapatkan semula kemahiran dan teknik menjadi fokus utama skuad hoki lelaki negara sekembalinya mereka ke padang bagi menjalani latihan buat pertama kali esok selepas tiga bulan menjalani latihan di rumah.

Ketua jurulatih negara, Roelant Oltmans, berkata skuad ‘The Malaysian Hockey Tigers’  perlu memanfaatkan minggu pertama latihan untuk membina permainan termasuk kelajuan dan pengendalian bola sebelum beraksi sepenuhnya selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pada 31 Ogos depan.

Jurulatih berusia 66 tahun itu yakin anak buahnya berada dalam keadaan baik daripada segi kecergasan selepas menjalani program latihan lima hari seminggu sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu yang dipantau olehnya yang ketika di Belanda.

Biarpun negara seperti Belanda, Australia, New Zealand dan Jerman telah memulakan latihan lebih awal, pengendali itu masih tenang dan tidak terjejas.

“Kami amat gembira dan bersemangat untuk kembali menjalani latihan, walaupun dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti penjarakan sosial, berlatih dalam kumpulan kecil dan latihan tanpa kontak. Kami tidak mempunyai kejohanan hingga November depan, jadi, kami mempunyai banyak masa untuk membuat persediaan.

“Kami mempunyai lebih masa untuk membina larian, kekuatan, kemahiran hingga kembali bermain dalam perlawanan. Kemungkinan selepas Ogos, kami boleh menjalani latihan seperti biasa diikuti perlawanan,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Oltmans menyerahkan tugasnya buat sementara waktu kepada Mohd Amin Rahim dan Mohd Nasihin Nubli untuk mengendalikan 33 pemain yang akan melaporkan diri ke kem latihan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.

Jurulatih yang pernah mengecapi kejayaan Piala Dunia dan Olimpik bersama Belanda itu sedang menjalani kuarantin di rumahnya di Bukit Jalil sejurus tiba di Malaysia semalam walaupun ujian menunjukkan beliau bebas COVID-19 selepas menjalani ujian di Belanda dan di sini. 

“Walaupun disahkan negatif selepas tiga kali menjalani ujian, kami perlu mematuhi arahan kerajaan. Saya tetap akan memantau program latihan dan video menerusi sistem,” tambahnya.

Kejohanan hoki antarabangsa yang masih berbaki dalam kalendar tahun 2020 adalah Trofi Juara-juara Asia di Dhaka, Bangladesh pada November depan manakala Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh dibatalkan ekoran kebimbangan penularan COVID-19.

-- BERNAMA

 
 

About Author

Bernama

Comment