Penyerang skuad hoki negara, Faizal Saari, membuktikan dia antara penggempur terbaik dunia apabila meledak gol berkualiti tinggi ketika Malaysia tewas 4-1 di tangan England untuk menamatkan cabaran di tangga keempat separuh akhir Liga Dunia di London.

Faizal menjaringkan gol itu pada minit ke-63 perlawanan apabila bijak meramalkan hantaran adiknya, Fitri, sekali gus menewaskan penjaga gol England, George Pinner.

Secara keseluruhan, Faizal menjaringkan empat gol di Stadium Hoki Lee Valley dan ia membuktikan dia sudah kembali menemui sentuhan berbisanya.

"Saya berasakan saya sudah menemui sentuhan saya tetapi setiap pemain perlu memiliki sifat untuk terus ke hadapan dan mahu memberikan yang terbaik dalam saingan Piala Dunia nanti," kata Faizal.

Tuan rumah mendahului menerusi penyerang, Harry Martin, seawal minit kelima sebelum David Ames menggandakan jaringan empat minit kemudian.

England terus memberikan tekanan dan hasilnya, gol ketiga menyusul menerusi Martin, tiga minit sebelum tamat separuh masa pertama.

Selepas rehat, kebangkitan Malaysia bermula apabila Faizal menjaringkan gol, namun England memastikan kemenangan dengan gol keempat di penghujung perlawanan.

Keputusan ini bermakna England layak ke final Liga Dunia sementara Malaysia boleh berpuas hati dengan tiket Piala Dunia 2018 sudah berada dalam genggaman.

Berakhirnya saingan separuh akhir Liga Hoki Dunia di London dengan juara menjadi milik Belanda diikuti Argentina dan England selain Malaysia di tangga keempat.

Malaysia turut berbangga dengan kejayaan S. Kumar yang dipilih sebagai penjaga gol terbaik kejohanan.

Bintang Argentina, Gonzalo Peillat, muncul pemain terbaik kejohanan di samping meraih anugerah penjaring terbanyak dengan 12 gol.