Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menegaskan kegagalan pasukannya mengekalkan rentak bukan berpunca daripada masalah sikap dalam skuad itu.

Juara bertahan LaLiga itu memperagakan prestasi tidak menentu sepanjang musim 2020-21 dengan menghasilkan beberapa persembahan di bawah kemampuan sebenar meskipun meraikan beberapa kejayaan terpuji seperti kemenangan 3-1 dalam 'El Clasico' selain membenam Inter dalam Liga Juara-Juara (UCL), kelmarin.

Bagaimanapun, mereka menempa keputusan yang mengecewakan ketika tewas kepada Cadiz dan Shakhtar Donetsk di laman sendiri termasuk dijinakkan 1-4 oleh Valencia sebelum rehat antarabangsa.

Mereka akan berhitung dengan Deportivo Alaves, awal pagi esok, selepas seri 1-1 di Villarreal minggu lalu dan kegagalan kali ini pasti akan menyaksikan mereka keciciran mata dalam tiga perlawanan berturut-turut LaLiga.

Gawang Madrid ditembusi 10 kali dalam sembilan perlawanan sementara pasukan terbanyak yang dibolosi musim ini adalah 12, tetapi Zidane menolak untuk memberi tekanan kepada pasukannya.

"Ini bukannya berkaitan masalah sikap kerana kami mencurahkan segala kudrat," katanya kepada wartawan.

"Anda bertanya kepada saya jadi saya harus menjawab tetapi ini adalah bola sepak, terdapat banyak faktor dalam permainan dan kadang-kadang anda tidak dapat memahaminya.



"Satu-satunya perkara yang kami tahu ialah, jika kami melakukan sesuatu bersama-sama, kami akan menjadi sangat sukar untuk dikalahkan tetapi ketekalan dalam bola sepak adalah perkara paling sukar untuk dicapai dan kami berusaha meningkatkannya pada setiap hari, menumpukan perhatian dan berusaha sebolehnya.

"Kami mempunyai masa terhad untuk membuat persiapan tetapi pada akhirnya, kami mahu melakukannya dengan baik."

Madrid memasuki penghujung era emasnya berikutan ramai pemain mula mendekati akhir karier mereka -- Sergio Ramos, Marcelo, Luka Modric dan Karim Benzema sudah memasuki usia 30-an.

Namun, Zidane menolak tanggapan itu dan tidak berjanji untuk membawa masuk muka baru pada Januari depan.

"Tidak, kami tidak berada di penghujung satu era. Anda perlu sentiasa berjuang dan memberi tumpuan tinggi -- kami tidak pernah abaikan sudut itu," tambahnya.

"Akan selalu ada perubahan dalam skuad dari semasa ke semasa tetapi pemain mahu beraksi. Sampai bila, saya tidak tahu. Tetapi kami harus melakukannya sehingga akhir musim ini menerusi skuad yang saya ada dan kami tidak perlu mengubah apa-apa."

Dani Carvajal sah tersisih akibat kecederaan otot untuk berdepan Alaves sementara Karim Benzema dan Sergio Ramos masih perlu berehat untuk mendapatkan kecergasan semula.