Pemain skuad bawah 22 tahun negara tidak berselindung di sebalik kemahuan melihat pengendali, Datuk Ong Kim Swee, kekal membimbing skuad bukan sahaja dalam Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, malah menjangkau melepasi kempen Kejohanan AFC Bawah 23 tahun 2018.

Masa depan Kim Swee bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menjadi tanda tanya susulan tarikh luput kontraknya adalah pada hujung tahun ini.

Ini bermakna belum ada kepastian sama ada Kim Swee atau jurulatih lain yang akan membimbing Malaysia dalam saingan Kejohanan AFC B-23 di China, Januari depan.

Bintang meningkat naik negara, N. Thanabalan, adalah antara yang tegas berasakan mereka memerlukan Kim Swee untuk menghadapi kempen itu.

"Kim Swee hanya memiliki lima hari untuk membuat persiapan beraksi di Bangkok, hanya persiapan taktikal diberikan dan Malaysia berjaya melayakkan diri ke Kejohanan AFC Bawah 23 Tahun. Kami sangat memerlukan beliau untuk membimbing pasukan ke kejohanan tersebut," katanya.

Susulan kejayaan membanggakan melayakkan diri ke China, Thanabalan berasakan persiapan rapi diperlukan bagi menghadapi kempen Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

Emas Sukan SEA kekal sebagai misi penting, apatah lagi beraksi dengan kelebihan sebagai tuan rumah.

"Keputusan positif di Bangkok menjadi sokongan moral untuk beraksi cemerlang dalam KL2017 nanti. Selepas ini, kami memiliki banyak masa untuk membuat persiapan yang lebih mantap."