Pemain tengah skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Danial Amier Norhisham, mengakui lega dapat memberi aksi terbaik dalam penampilan pertamanya ketika menewaskan Indonesia 3-0 dalam kelayakan Kejohanan B-23 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2018 di Bangkok, Thailand, semalam.

Danial, yang mesra dipanggil 'Boy', membentuk gandingan ampuh bersama Amirul Hisham Awang Kechik, dengan penyerang Felda United itu menyerlahkan keupayaannya sebagai perancang utama.

Selain menjadi pencetus gol kedua skuad negara, ketenangannya mengawal tengah padang tampak mendorong aksi positif bertemu Indonesia.

"Saya sangat bangga dengan prestasi diri sendiri, prestasi rakan sepasukan yang bermati-matian mempertahankan tiga gol separuh masa pertama itu," katanya.

Danial mahu momentum cemerlang itu diteruskan dalam perlawanan kedua kelayakan menentang Thailand, esok.

Dia mengakui keputusan positif bertemu skuad tuan rumah mampu mencerahkan peluang Malaysia ke pusingan akhir kejohanan di China tahun depan.

"Alhamdullillah. Setakat ini nampaknya agak cerah untuk kita pusingan seterusnya. Selepas ini kita akan bertemu Thailand dan kemudian akan mengutip tiga mata penuh menentang Mongolia," tambahnya.

Sementara itu, Thailand diikat Mongolia 1-1 untuk menyaksikan Malaysia berada di kedudukan teratas Kumpulan H selepas satu perlawanan.