Ketua jurulatih Juventus, Adrea Pirlo, menegaskan bahawa Cristiano Ronaldo tidak menerima sebarang layanan istimewa di pasukan gergasi Serie A itu.

Ronaldo bermula baik musim ini dengan menjaringkan lapan gol daripada enam penampilan.

Jaringan berganda yang dilakukannya ketika Juve menewaskan Cagliari 2-0 Sabtu lalu menyaksikan Ronaldo telah menghasilkan 29 daripada 59 jaringan Juve dalam Serie A sepanjang 2020.

Menjelang aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Ferencvaros awal pagi esok, Pirlo membuka bicara mengenai Ronaldo dan berkata bahawa pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or itu menerima layanan yang sama seperti pemain lain.

"Saya masih belum mencabarnya (Ronaldo) dalam gerakan set piece. Saya melayannya seperti saya melayan pemain lain. Saya sentiasa ada di dalam atau di luar padang," katanya dalam sidang media.

"Ia lebih mudah untuk mempunyai hubungan baik dengan orang yang merendah diri. Saya seperti itu.

"Saya melayannya seperti seorang juara, sama seperti yang saya lakukan kepada dua pemain muda, (Gianluca) Frabotta atau (Manolo) Portanova.

"Saya melakukan perkara sama seperti yang saya lakukan sewaktu bergelar pemain," katanya.

Menjelang pertemuan dengan Ferecvaros, Juventus berada di tangga kedua Kumpulan G dengan tiga mata di belakang Barcelona.