Ronaldo ragui keinginan Icardi 

By Penulis Jemputan 9 February 2018 2977
Ronaldo ragui keinginan Icardi 
Bekas penyerang Real Madrid dan Inter Milan, Ronaldo, tidak pasti sama ada Mauro Icardi berminat untuk berhijrah ke Santiago Bernabeu.

Kemerosotan prestasi Cristiano Ronaldo dan Karim Benzema pada musim ini menyebabkan timbul spekulasi Madrid mahu melakukan perubahan besar menjelang musim 2018/19.

Selain penyerang Bayern Munich, Robert Lewandowski, yang dikhabarkan menarik minat juara bertahan LaLiga itu, Icardi juga berada dalam senarai yang dimahukan Los Blancos.

Bulan lalu, pengurus Argentina, Jorge Sampaoli, menyifatkan perhatian penyerang Argentina itu terganggu selepas menarik minat Madrid apabila sekadar mencatat satu jaringan dalam lima aksi terakhir Serie A, namun Ronaldo percaya Icardi gembira di San Siro.

"Saya yakin Icardi gembira bersama Inter, sama seperti ketika saya di sana walaupun saya sering ditimpa masalah kecederaan dan penghijrahan saya tidak seperti diharapkan.

"Walaupun kita tidak begitu mengetahui tentang pasaran pemain, saya yakin banyak pasukan yang mahukan khidmatnya.

"Menyertai Real Madrid adalah impian setiap pemain tetapi saya tidak tahu apa-apa mengenai Icardi," katanya.

Dalam masa sama, Ronaldo yang memenangi kejuaraan Piala UEFA ketika bersama Inter selama lima musim, percaya Nerazzurri perlu kekal bersama pengurus, Luciano Spalleti, walaupun kini ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, Napoli.

"Ia tampak bakal menjadi tahun yang bagus buat kami tetapi anda tidak boleh mempersoalkan semua pihak setiap tahun.

"Anda perlu percaya dalam sesuatu pembangunan dan ia pastinya memerlukan masa. Kecemerlangan Inter pada awal musim bukan satu kebetulan," tambahnya.

About Author

Penulis Jemputan

Comment