Ronaldo mungkin direhatkan pada hari keraian Juventus

By Muzaffar Musa 1 August 2020 304
Ronaldo mungkin direhatkan pada hari keraian Juventus
Ketua jurulatih Juventus, Maurizio Sarri, mungkin akan merehatkan Cristiano Ronaldo dalam perlawanan terakhir Serie A musim ini menentang AS Roma awal pagi esok.

Juve sudahpun mengesahkan kejuaraan Scudetto mereka, yang kesembilan berturut-turut, dan hanya seminggu menjelang perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah menentang Lyon, di mana mereka perlu menterbalikkan defisit 0-1.

Ronaldo tidak pernah terlepas sebarang perlawanan sejak saingan bola sepak di Itali kembali bersambung Jun lalu dan pemain berusia 35 tahun itu telah merekodkan 31 gol dalam saingan liga ketika membantu Juve memperoleh gelaran berkenaan.

Bagaimanapun, dengan penyerang Lazio, Ciro Immobile, berkelebihan empat gol dalam senarai penjaring terbanyak, Sarri berkemungkinan akan merehatkan Ronaldo dan beberapa pemain lain menjelang perlawanan menentang Lyon.

Pemain tengah, Aaron Ramsey, berkemungkinan akan diturunkan bagi melihat sama ada dia cukup cergas untuk dipertaruhkan ketika menentang lawan dari Ligue 1 itu minggu depan walaupun Paulo Dybala masih menjalani pemulihan daripada kecederaan pinggul.

"Kami akan menilai (siapa yang akan bermain) pada hari ini dan pagi esok, bergantung kepada siapa yang memerlukan rehat dan siapa yang cergas untuk bermain," kata Sarri.

"Di antara esok dan Jumaat depan akan ada perbezaan yang besar daripada segi mentaliti.

"Kami akan perlu menjadi lebih bagus dalam mengembalikan tenaga dengan sebaik mungkin.

"Esok, sesiapa sahaja yang cergas dan kami akan mencuba untuk menjadikannya sebagai hari keraian.

"Saya dapat lihat dua pasukan dengan hati yang terang malam esok, dengan fikiran yang lapang, satu perlawanan terindah dapat dihasilkan daripadanya.

"Kita akan lihat bagaimana perasaan Cristiano esok, dia merupakan antara pemain yang bermain paling banyak sepanjang musim ini.

"Mengenai Aaron Ramsey, dia mungkin akan kembali bersama pasukan hari ini dan terdapat kemungkinan untuk dia bermain dalam Liga Juara-Juara.

"Dybala masih bersama pegawai perubatan, semuanya kelihatan baik tetapi saya tidak tahu bila dia akan kembali bersama pasukan," katanya.
 

About Author

Muzaffar Musa

Comment