BORUSSIA DORTMUND 1 REAL MADRID 3

Dua gol daripada Cristiano Ronaldo dan satu daripada Gareth Bale membantu Real Madrid menumbangkan Borussia Dortmund 3-1 dalam aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Eropah, awal pagi tadi.


Beraksi di Signal Iduna Park, Dortmund turun dengan misi meraih tiga mata pertama selepas tewas 2-3 di tangan Tottenham Hotspur dalam perlawanan pertama.

Bagaimanapun, tuan rumah dikejutkan dengan gol pembukaan pelawat pada minit ke-18 menerusi Bale selepas bintang Wales itu bijak menyempurnakan hantaran Daniel Carvajal untuk menewaskan penjaga gol Dortmund, Roman Burki.

Dortmund hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-45 namun tandukan Andriy Yarmolenko sempat dikuis keluar Raphael Varane tatkala Keylor Navas sekadar menyaksikan gawang yang dikawalnya terbuka.

Ronaldo menambah gol kedua Madrid pada minit ke-50 selepas tenang menolak bola masuk ke gawang hasil hantaran lintang leret daripada Bale dari sebelah kiri untuk pelawat selesa mendahului 2-0.

Namun, kedudukan itu tidak bertahan lama apabila penyerang Gabon, Pierre-Emerick Aubameyang, merapatkan jurang buat tuan rumah menerusi gol dari jarak dekat empat minit kemudian.

Ronaldo sekali lagi menjadi duri dalam daging buat Dortmund apabila menjaringkan gol ketiga pada minit ke-79 menerusi rembatan kencang kaki kanan yang gagal diselamatkan Burki, membolehkan skuad kendalian Zinedine Zidane terus selesa dengan kedudukan 3-1 sehingga wisel penamat dibunyikan.

Kemenangan itu menyaksikan Real Madrid kini berada di tangga teratas kumpulan dengan enam mata, berkongsi dengan Spurs yang berada di tangga kedua, namun dibezakan dengan jaringan sementara Dortmund di tangga ketiga tanpa sebarang mata.