Aaron Ramsey memuji Cristiano Ronaldo dengan berkata rakan sepasukannya di Juventus itu sebagai "amat luar biasa".

Ronaldo menikmati satu lagi musim cemerlang dengan menjaringkan 25 gol daripada 32 perlawanan sebelum kempen musim ini direhatkan kerana pandemik Covid-19.

Ramsey tiba di Turin pada awal musim ini dan pemain tengah itu memuji bintang Portugal berkenaan.

"Dia atlet yang luar biasa," katanya kepada penyanyi dan penggubah lagu, Niall Horan, dalam satu perbualan video Instagram.

"Dia yang pertama tiba di gimnasium, dia melakukan rutinnya terlebih dahulu sebelum ke padang latihan.

"Dia seorang juara, dia mahu memenangi setiap perlawanan, setiap perlawanan kecil, tidak kira apa jua, kemudian dia akan berlatih melakukan sepakan percuma dan rembatan.

"Anda tidak memerlukan saya untuk memberitahu anda tentang betapa bagusnya dia.

"Dia amat luar biasa. Dia salah seorang yang terbaik dalam sejarah sukan ini," katanya.

+-+-+-+-+
Ramsey, 29, menyertai Juve selepas meninggal Arsenal, di mana dia memenangi tiga kejuaraan Piala FA.

Pemain kebangsaan Wales itu berkata keinginannya untuk memenangi lebih banyak trofi -- termasuk Liga Juara-Juara Eropah -- telah mendorongnya untuk berpindah ke pasukan itu.

"Juve kelab yang besar, antara yang terbesar di Eropah dan terdapat juga kelab lain yang berminat.

"Tetapi sekali lagi, saya berasa seperti amat diperlukan oleh mereka, dengan sejarah yang mereka ada, dengan pemain yang mereka ada.

"Dalam beberapa tahun lalu, mereka telah melakukannya dengan amat baik dalam Liga Juara-Juara dan mereka berminat untuk mendapatkan saya.

"Jadi, saya mahu mencuba membantu mereka untuk memenangi Liga Juara-Juara.

"Mereka juga merupakan juara berturut-turut. Mereka memenangi trofi demi trofi, jadi apa yang saya mahu capai adalah menyertai satu pasukan yang bersaing untuk memenangi dua, tiga, atau empat trofi dalam satu musim," tambahnya.