Reus jelaskan punca tidak hijrah ke Bayern

By Nafis Abdullah 9 April 2020 638
Reus jelaskan punca tidak hijrah ke Bayern
Pemain Borussia Dortmund, Marco Reus, menegaskan dia tidak pernah menyimpan hasrat untuk menyertai Bayern Munich.

Selepas era gemilang bersama Dortmund di bawah kendalian Jurgen Klopp, di mana mereka dua tahun berturut-turut menjulang kejuaraan Bundesliga pada musim 2010-11 dan 2011-12, Mario Gotze, Robert Lewandowski dan Mats Hummels meninggalkan Signal Iduna Park untuk ke Allianz Arena.

Reus yang menyertai BVB daripada Borussia Monchengladbach pada 2012 juga menjadi sasaran Bayern tetapi memberi penjelasan ketika temubual bersama Sport Bild, menegaskan hatinya sentiasa bersama pasukan yang diketuainya itu.

"Wujud tawaran daripada kelab lain. Saya menghormati Bayern dan apa yang kelab lakukan dalam beberapa dekad," katanya.

"Namun, saya sentiasa mahu mewakili BVB. Hati saya di sini. Sewaktu bersama Monchengladbach, jelas sekali saya hanya mahu berhijrah ke Dortmund atau keluar dari Jerman."


Minggu ini, Thomas Muller menandantangani kontrak lanjutan sehingga 2023 bersama Bayern, menyamai tindakan Reus di Dortmund.

"Saya fikir ia penting untuk peminat yang menyukai Muller dan saya. Mereka sedar kami bersama kelab mereka," tambah Reus.

"Sentiasa menjadi impian untuk beraksi buat BVB. Saya memiliki segalanya untuk gembira iaitu rumah, keluarga dan kelab.

"Perasaan ini tidak pernah berubah walaupun negara lain lebih menarik."

About Author

Nafis Abdullah

Comment