Jamie Redknapp mempertahankan tindakan Sergio Ramos ke atas Mohamed Salah dan Loris Karius dalam final Liga Juara-Juara Eropah sambil mahu Liverpool melupakan kekalahan itu.

Rempuhan Ramos ke atas Salah telah menyebabkan pemain Mesir itu meninggalkan padang sebelum bertembung dengan Karius sehingga dilihat menjadi punca kepada kesilapan penjaga gol itu memberikan dua jaringan buat Real Madrid.

Doktor mengesahkan Karius mengalami gegaran otak dalam aksi itu, sekali gus menambahkan lagi kritikan terhadap pemain pertahanan skuad kebangsaan Sepanyol itu.

Bagaimanapun, Redknapp yang merupakan bekas tonggak Liverpool, percaya peminat The Reds tidak akan merungut sekiranya bintang Madrid, Cristiano Ronaldo, mengalami kecederaan.

"Mungkin tindakan Ramos ketika itu tidak bijak tetapi jika dia bermain untuk pasukan anda, melakukan perkara sama dan memberikan trofi Liga Juara-Juara Eropah, anda tentu akan senang dengannya. Ia mudah," kata Redknapp.

"Jika kami menghadapi satu situasi dan salah seorang pemain kami mencederakan Ronaldo, kami tidak akan merungut terlalu banyak. Itulah bola sepak. Ramos melakukan perkara yang semua orang akan lakukan."

Mahukan Liverpool dan Karius meneruskan kehidupan, Redknapp juga menggesa penjaga gol itu agar membina semula kariernya.

"Segalanya sudah selesai. Tiada apa yang boleh anda lakukan dan sama ada dia mengalami gegaran otak atau tidak, tiada siapa tahu jika ia akan memberikan kesan," tambahnya.

"Kebenarannya, dia perlu membina semula karier. Sudah pasti dia menanggung kesan yang lebih besar. Dia harus melalui kempen pramusim yang baik bersama Liverpool dan bergaul dengan semua pemain.

"Situasi ini hanya berlaku dalam tempoh 20 tahun tetapi orang ramai mampu melaluinya dan membina semula kehidupan. Saya pasti, walaupun mungkin bukan bersama Liverpool, dia boleh meneruskan karier dan menjadi penjaga gol yang lebih baik di tempat lain," tambahnya.