Pogba sarung jersi Juventus tanda sokongan buat Matuidi

By Nafis Abdullah 19 March 2020 1811
Pogba sarung jersi Juventus tanda sokongan buat Matuidi
Semalam, Paul Pogba dilihat kembali menyarung jersi Juventus tetapi kali ini dengan alasan yang baik.

Masa depan pemain tengah Manchester United itu menjadi tumpuan tatkala dia dikaitkan dengan bekas pasukannya, Juve, sekiranya meninggalkan Old Trafford.

Pogba beraksi dalam Serie A bersama The Old Lady selama empat musim dari 2012 sehingga 2016 sebelum kembali ke United menerusi yuran termahal dunia ketika itu.

Dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram peribadinya, Pogba dilihat berlatih di rumah dengan menggunakan jersi Juve sambil tertera nama dan nombor Matuidi di belakang.

Bagaimanapun, tonggak Perancis itu menjelaskan dia dan rakan sepasukannya di United, Victor Lindelof -- yang menyarung jersin Sampdoria dengan nama Albin Ekdal -- hanya menunjukkan tanda sokongan buat rakan senegara selepas kedua-dua pemain Serie A itu didapati positif coronavirus.

"Kem latihan baru yang dipanggil Arena Kuarantin PP, dibuka 24 jam sehari!" katanya.

"Menikmati kerja di rumah bersama saudaraku @victorlindelof.

"Menyokong kawan kami @blaisematuidiofficiel dan @albinekdal serta semua atlet dan orang ramai di seluruh dunia!

"Semoga terus tabah, #stayAtHome dan berada dalam keadaan selamat!

"(Saya tahu agak mengeliruka apabila bercakap mengenai jersi Juventus tetapi saya hanya memberikan sokongan buat rakan-rakan, itu sahaja)."

Matuidi kemudian dilihat membalas hantaran itu dengan berkata: "Terima kasih saudaraku, ia menyentuh hati. Saya sayangkan awak.

"Gembira melihat anda kembali memegang bola."

Pogba tidak beraksi buat United sejak 26 Disember lalu selepas menjalani pembedahan di bahagian buku lali kanannya, Januari lalu.

Dia dalam proses kembali menyertai sesi latihan tetapi United membatalkan semua sesi selepas kerajaan Britain menggesa orang ramai untuk mengelakkan sebarang urusan luar serta sosial.
 

About Author

Nafis Abdullah

Comment