Christian Eriksen mengakui kariernya di Inter Milan tidak berjalan seperti perancangannya dan bersikap terbuka menjelang jendela perpindahan Januari ini.

Selepas lama menjadi perbualan, Eriksen akhirnya meninggalkan Tottenham dan menyertai Inter kendalian Antonio Conter pada awal tahun ini.

Pemain kebangsaan Denmark itu berdepan permulaan perlahan bersama kelab Serie A berkenaan dengan hanya memulakan perlawanan sebanyak lapan kali daripada 17 perlawanan liga pada hujung musim lalu selain hanya meledak satu gol daripada 24 percubaan tepatnya dan menghasilkan satu bantuan jaringan setelah mencipta 22 peluang.

Eriksen hanya beraksi selama dua minit sepanjang dua perlawanan terakhir kempen itu -- perlawanan penting menentang Napoli dan Atalanta -- dan tidak menunjukkan sebarang peningkatan sejak permulaan musim ini.

Pemain itu masih belum dapat menghasilkan sebarang gol atau bantuan jaringan, malah tidak pernah beraksi selama 90 minit sejak musim 2020-21 bermula -- langsung tidak dapat menghasilkan sebarang percubaan.

"Tidak, ia bukanlah sesuatu yang saya impikan," kata Eriksen kepada TV 2 SPORT ketika tugasan antarabangsa.

"Saya fikir semua pemain bola sepak mahu bermain sebanyak mungkin tetapi ia keputusan jurulatih untuk menentukan siapa yang akan bermain.

"Ia satu situasi di mana orang dari luar gemar untuk menyaksikan saya bermain. Dan sudah pasti saya juga mahu melihat saya bermain.

"Jurulatih mempunyai pemikiran yang berbeza di mana anda menghormatinya sebagai pemain.

"Buat masa ini, ia mungkin tidak kelihatan baik bersama kelab ini tetapi satu masa dulu, di mana saya juga tidak bermain terlalu banyak, terdapat kejayaan yang hebat.

"Kemudian, saya tetap menghormatinya ketika saya kurang bermain dan pasukan kami menang," katanya.

Kesabaran Eriksen di San Siro kelihatan semakin berkurangan.

Dia bermula dalam dua perlawanan berturut-turut menentang Genoa dan Parma tetapi dikeluarkan sebelum sejam perlawanan dalam kedua-dua perlawanan itu walaupun menciptakan tiga peluang ketika menentang Parma.

Sewaktu menentang Atalanta dalam perlawanan terakhir sebelum waktu rehat antarabangsa, Eriksen langsung tidak diturunkan.

"Saya menumpukan untuk bermain bola sepak. Kemudian kita akan lihat apabila jendela perpindahan dibuka, apa yang patut berlaku dan apa yang tidak patut berlaku," tambahnya.

Eriksen dikaitkan dengan kepulangan ke Spurs, di mana dia menghasilkan 51 gol dan 62 bantuan jaringan sepanjang 226 penampilan liga.