Sememangnya atlet antara golongan yang mengharapkan impak pandemik Covid-19 tidak terus mengganggu terutamanya pemain bola sepak.

Perkara itu dikongsikan penyerang BG Pathum United, Norshahrul Idlan Talaha, yang mengakui beberapa pemain Liga Super menghubunginya untuk mendapatkan info mengenai peluang menyertai Liga Thailand.

Situasi itu berlaku kerana liga tersebut lebih konsisten mengenai pembayaran gaji seperti yang dikongsikan wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi.

"Pemain tempatan harus mencuba nasib di negara Thailand kerana di sini, pengurusan dan kemudahan mereka agak baik. Cuma, kalau di Malaysia, mungkin Johor Darul Ta'zim (JDT) yang terbaik. Jadi, tiada masalah untuk pemain Malaysia mencuba nasib di Thailand," tambah Norshahrul.

"Memang ada beberapa pemain kebangsaan menghubungi saya dan berminat untuk bermain di sini tetapi saya tidak harus mendedahkan nama mereka."