Luka Modric mengakui akan menyukai bergandingan bersama Kylian Mbappe di Real Madrid.

Penyerang Paris Saint-Germain (PSG) terus dikaitkan dengan penghijrahan ke gergasi LaLiga, dan terbaru laporan mendakwa Mbappe telah memberitahu kepada kelab Perancis itu bahawa dia mahu berhijrah.

Mbappe sebelum itu turut dikaitkan dengan penghijrahan menyertai Liverpool, yang bertemu real dalam aksi kedua suku akhir Liga Juara-Juara (UCL) awal pagi esok.

Kini kelihatan gergasi Sepanyol itu bakal menjadi destinasi yang lebih cerah berbanding Merseyside bagi pemain berusia 22 tahun, Mbappe, yang membantu Perancis menjuarai final Piala Dunia 2018 mengatasi Modric dan Croatia.

Ditanya mengenai prospek pemain untuk musim depan, perancang Real, Modric, memberitahu sidang media sebelum perlawanan, "Terdapat banyak khabar angin dan berita mengenai pemain yang datang dan pergi. Saya tidak boleh mengulas perkara itu.

"Kylian Mbappe adalah pemain yang hebat, dia telah banyak kali menunjukkan kepada kami bersama PSG dan pasukan kebangsaan Perancis. Pemain hebat selalu diterima di Real Madrid.

"Tetapi tidak betul bagi saya untuk membincangkan pemain dari pasukan lain, terutama pada peringkat musim ini.

"Kami akan melihat apa yang berlaku musim depan, tetapi apa yang dapat saya katakan ialah dia adalah salah seorang pemain terbaik dunia."


Real mendahului 3-1 daripada aksi pertama bertemu Liverpool, berkunjung ke Anfield tanpa kapten, Sergio Ramos, yang sebelum ini cedera dan kini telah diuji positif coronavirus.

Mereka juga tanpa khidmat Raphael Varane, Lucas Vazquez, Dani Carvajal dan Eden Hazard untuk Real.