Lampard sanjung watak Pedro singkir Liverpool 

By Staff Writer 4 March 2020 890
 Lampard sanjung watak Pedro singkir Liverpool 
CHELSEA 2 LIVERPOOL 0 

Frank Lampard memuji karakter 'berjangkit' Pedro dalam kemenangan 2-0 Chelsea ke atas Liverpool dalam pusingan kelima Piala FA.


Pedro bergelut untuk mendapat tempat musim ini tetapi memberi sumbangan besar di Stamford Bridge awal pagi tadi yang menyaksikan jaringan Willian dan Ross Barkley memastikan skuad kendalian Lampard itu ke suku akhir.

Pemain Sepanyol itu hanya muncul dalam 12 perlawanan musim ini tetapi pengurus berkenaan memuji pemain berusia 32 tahun tersebut dengan menyifatkannya -- yang membuat penampilan ke-200 bersama kelab itu -- sebagai penting buat Chelsea pada penghujung kempen ini.

"Saya bersetuju bahawa dia memiliki etika kerja yang cemerlang dan pemain lain menjadikannya sebagai contoh. Dia sentiasa menjadi ancaman gol," kata Lampard.

"Sebahagian daripada musim ini adalah sukar. Dia berada dalam pasukan utama pada permulaan kempen, kemudian tercedera lalu tersisih tetapi apa telah ditunjukkannya dalam latihan, terutama dalam beberapa minggu kebelakangan ini adalah satu keinginan yang besar. Dia tampak berbisa, menawarkan nasihat dan memberi tumpuan melalui bahasa badannya.

"Dia boleh menjadi salah seorang pemain penting buat kami sehingga akhir musim ini. (Sikapnya itu) itu boleh berjangkit."

Billy Gilmour, 18, turut menyerlah untuk The Blues selepas Matthew Kovacic dan Willian dilanda kecederaan.

 
Lampard mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan tumit, khususnya ketiadaan Kovacic yang merencatkan perancangannya manakala N'Golo Kante sudah pun diketepikan.

"Kedua-duanya ditimpa masalah tumit," katanya.

"Saya harap kecederaan Willian tidak terlalu serius, itulah laporan yang kami terima supaya kami dapat memantau keadaannya esok.

"Tahap Kovacic lebih buruk. Semoga ia tidak terlalu drastik, jadi kami akan lihatnya kelak."

Chelsea akan kembali beraksi pada Ahad ini apabila menjadi tuan rumah Everton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL). 

Turut meneruskan kemaraan dalam Piala FA ialah Newcastle United yang ke suku akhir selepas kali terakhir melakukannya pada 2006 apabila membenam pendahulu Liga Kejuaraan, West Brom, 2-0. 

 Sheffield United pula memerlukan masa tambahan untuk mengatasi Reading 2-1. 

About Author

Staff Writer

Comment