INDONESIA 0 MALAYSIA 3

Malaysia memulakan kempen dalam Kumpulan H, Kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Bawah 23 Tahun dengan kemenangan selesa 3-0 ke atas Indonesia di Stadium Nasional Supachalasai, Bangkok, petang tadi.


Syafiq Ahmad membantu Malaysia untuk mendahului perlawanan dengan jaringan pembukaan seawal minit ketiga apabila mudah menewaskan penjaga gol lawan, Satria Tama Hardiyanto.

Seterusnya, Mohd Jafri Firdaus Chew mengukuhkan kedudukan buat skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee, dengan jaringan kedua pada minit ke-20.

N. Thanabalan terus mempamerkan persembahan cemerlang dengan menjaringkan gol ketiga Malaysia pada minit ke-30 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Selepas dikejutkan Malaysia dalam separuh masa pertama, Indonesia yang dibimbing bekas pemain Barcelona, Luis Milla Aspas, bangkit mempamerkan persembahan lebih memberangsangkan dengan menggagalkan setiap percubaan Malaysia.

Namun, tentangan Indonesia bertambah sukar apabila kehilangan seorang pemain, Asnawi Mangkualam, yang dibuang padang pada minit ke-68 gara-gara terjahan keterlaluan ke atas Syazwan Andik.

Skuad muda Garuda itu memiliki beberapa peluang untuk mengurangkan defisit jaringan tetapi penjaga gol, Ifwat Akmal Che Kassim, mempamerkan persembahan cemerlang untuk memastikan gawang Malaysia tidak dibolosi sehingga tamat perlawanan.

Malaysia seterusnya akan berdepan ujian getir pasukan tuan rumah, Thailand, dalam perlawanan kedua Jumaat ini.

"Kemenangan yang cukup dan baik tiga mata yang berharga. Seterusnya kami akan berdepan tugas yang lebih sukar berdepan pasukan tuan rumah, Thailand," kata Kim Swee.

"Saya mengakui kami tidak bermain baik pada separuh masa pertama dan gol pertama Malaysia telah membunuh pasukan kami pada perlawanan ini," kata jurulatih Indonesia, Luis Milla Aspas.

Kredit imej: asiana.my/Nur Ridzuan