Banyak pasukan berpusu-pusu untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar yang dianggap lebih berkaliber, tetapi lain cerita untuk seorang jurulatih ini, setelah menyepi lebih satu musim, khabarnya beliau akan membuat kemunculan semula.

Irfan Bakti Abu Salim akan kembali ke kancah Liga Malaysia setelah mempertimbangkan dua tawaran bagi musim 2021.

Adakah terdapat kemunculan semula seorang lagi jurulatih tempatan dalam Liga-M musim depan sebelum bersara?

Itu diakui jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti, selepas hampir dua musim tanpa pasukan bimbingan.

Dia mengesahkan sedang melewati perbincangan fasa akhir melibatkan Negeri Sembilan dan terbaru Kuching FA.

"Saya telah bertemu dengan pihak pengurusan pasukan Negeri Sembilan dan ia kelihatan agak positif . Saya juga telah dihubungi pihak Kuching FA dan buat masa ini, saya akan menunggu keputusan pihak pengurusan pasukan masing-masing," kata Irfan.

Pengendali itu memberikan tempoh masa paling lama dua tahun sebelum dia memutuskan untuk bersara daripada bidang kejurulatihan.

"Selepas semusim tidak bersama mana-mana pasukan membuatkan saya gelisah kerana tidak berada di padang dan mungkin saya akan kekal dalam saingan selepas ini untuk dua musim sebelum mengumumkan persaraan."