Rivaldo yakin Erling Haaland ditakdirkan untuk perpindahan bernilai tinggi dan akan menyerlah dalam LaLiga tatkala Real Madrid mengintai pemain sensasi Borussia Dortmund itu.

Haaland masih segar menyertai Dortmund daripada Salzburg Januari lalu, namun pemain berusia 19 tahun itu semakin hangat dikaitkan dengan kelab gergasi LaLiga berkenaan.

Penyerang Norway itu telah meledak 10 gol Bundesliga hanya dalam sembilan penampilan selain 13 secara keseluruhannya bersama Dortmund.

Bekas bintang Barcelona, ​​Rivaldo, yang menulis untuk Betfair berkata: "Dia sudah menjadi pemain yang hebat tetapi pada usia 19 tahun dia boleh menjadi lebih baik lagi pada masa depan dan menjadi salah satu penyerang terbaik di dunia.

"Dia memiliki karakter besar, beraksi tanpa rasa takut dan kelihatan sangat tenang di padang jadi dia adalah pemain bertaraf dunia yang masih banyak perlu dipelajari dan memang layak menjadi buruan banyak kelab.

"Beberapa orang sudah membandingkan gaya Haaland dengan Ronaldo Nazario kerana dia pantas, tidak takut dan merakamkan banyak jaringan tetapi masih terlalu awal untuk mula menganggapnya sebagai pengganti Ronaldo.

"Ronaldo memenangi dua Piala Dunia dalam empat edisi yang disertainya. Dia juga mempesonakan dunia dengan larian dan golnya, jadi kami memerlukan masa untuk melihat adakah Haaland dapat mencapai tahap Ronaldo. Namun, Haaland memiliki kualiti untuk setidak-tidaknya mendekati bekas rakan sepasukan saya itu.

"Ia akan menjadi satu perniagaan yang luar biasa buat Dortmund yang menandatanganinya cuma dengan harga €20 juta (RM95.3j) Januari lalu dan sekarang nilainya telah melonjak empat kali ganda pada akhir musim ini.

"Mungkin Barcelona dan Real Madrid terganggu Januari lalu tetapi tiada siapa yang menduga bahawa Haaland akan memberi impak segera di Dortmund."

Back on track! ???

A post shared by Erling Braut Haaland (@erling.haaland) on



Tambahnya: "Saya rasa tidak menjadi kesalahan buat Barca untuk tidak menandatanganinya Januari lalu. Kita tidak pernah tahu bagaimana pemain akan menyesuaikan diri selepas berpindah daripada liga Austria ke liga utama Eropah. Sekiranya dia diikat Real Madrid, dia mungkin sekadar menjadi pemain gantian tetapi selepas ini dia akan tiba sebagai pemain bintang yang harus menjadi pemain dalam barisan permulaan. "