BORUSSIA DORTMUND 6 BORUSSIA MONCHENGLADBACH 1

Skuad kendalian Peter Bosz terus mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Bundesliga musim 2017/18 selepas menewaskan Borussia Monchengladbach 6-1 di Signal Iduna Park, lewat malam tadi.


Kemenangan itu menyaksikan Dortmund terus selesa di puncak liga dengan 16 mata hasil daripada lima kemenangan dan satu seri.

Beraksi di laman sendiri, Dortmund, yang telah memenangi sembilan daripada 16 pertemuan liga dengan M'Gladbach sebelum ini, membuka tirai jaringan pada minit ke-28 menerusi Maximilian Philipp yang bijak menyudahkan hantaran Pierre-Emerick Aubameyang untuk menewaskan penjaga gol lawan, Tobias Sippel.

Pemain sayap Jerman itu sekali lagi mencatat nama dalam senarai penjaring apabila menambah gol kedua 10 minit kemudian selepas menerima hantaran Jerimy Toljan dari sebelah kiri, sebelum Aubameyang menjadikan kedudukan 3-0 pada minit akhir babak pertama.

Bersambung babak kedua, Aubameyang hanya memerlukan empat minit untuk menambah gol kedua peribadi apabila menyempurnakan bola sepakan percuma Mario Gotze dan penyerang Gabon itu meletakkan dirinya selaku penjaring terbanyak liga dengan lapan gol selepas melengkapkan hatrik pada minit ke-62.

Hantaran bijak daripada pemain muda Jerman, Mahmoud Dahoud, berjaya membuka ruang buat Aubameyang untuk menggelecek bola melepasi Sippel terlebih dahulu sebelum mudah menolak masuk gol kelima tuan rumah.

Pelawat meraih gol sagu hati empat minit kemudian menerusi Lars Stindl, namun segala-galanya tamat buat M'Gladbach apabila Julian Weigl melengkapkan kenduri gol Dortmund menerusi sepakan voli melepasi jangkauan Sippel untuk menjadikan kedudukan 6-1.

Kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat, mengekalkan Dortmund di puncak liga sambil diekori Hoffenheim di tangga kedua manakala juara bertahan, Bayern Munich, di tangga ketiga.