Borussia Dortmund masih berhubung dengan Real Madrid bekenenaan pemain sayap pinjaman, Achraf Hakimi, biarpun Inter Milan dilaporkan sudah bersedia untuk mengeluarkan dana bagi mendapatkan bintang muda skuad Los Blancos itu.

Pemain kebangsaan Maghribi kelahiran Sepanyol itu menghabiskan dua musimnya secara pinjaman di kelab Bundesliga, Dortmund, dan amat menyerlah di posisi pertahanan kanan sepanjang musim ini.

Dia turut menghasilkan lima gol dan 10 bantuan jaringan, yang menjadikannya sebagai pemain petahanan paling produktif daripada aspek serangan.

Dortmund mengakui bahawa mereka mempunyai keinginan untuk mengekalkan Hakimi di Signal Iduna Park, dengan pengarahnya, Michael Zorc, berkata bahawa dia berharap akan menemui satu kesepakatan pada Khamis ini.

Media melaporkan bahawa Inter dan Madrid sudah menghampiri perjanjian yang melibatkan €40 juta (RM192.6 juta) tetapi Dortmund masih enggan mengaku kalah.

"Kami tahu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh kami lakukan dalam kes Hakimi," kata Zorc kepada Sport1.

"Kami masih berhubung dengan Madrid. Dia masih pemain kami buat beberapa hari ini."

Dortmund akan menantikan kunjungan Hoffenheim dalam perlawanan terakhir Sabtu ini dengan Hakimi berkemungkinan akan menyarung jersi kuning hitam itu buat kali terakhir.