Legenda bola sepak Itali, Dino Zoff, mengharapkan pemain muda AC Milan, Gianluigi Donnaruma, untuk tidak memikirkan soal wang di dalam kariernya.

Penjaga gol muda itu bakal tamat kontrak pada 2018 dan ejennya, Mino Raiola, menyatakan bahawa Donnaruma telah menarik perhatian beberapa kelab elit Eropah.

Donnaruma tidak terburu-buru dalam membuat keputusan, namun Zoff memberi amaran kepadanya untuk berhati-hati dan berfikir sebaik-baiknya dalam membuat keputusan.

“Donnaruma masih terlalu muda, jadi dia perlu tenang tanpa memikirkan destinasi seterusnya dalam karier dengan mengambil kira soal bayaran,” kata Zoff.

“Apa yang penting adalah dia perlu mendapatkan pengalaman sebanyak mungkin kerana dia seorang yang berpotensi,” tambahnya.

Dalam musim 2016-17, Donnaruma tidak terlepas sebarang pertemuan Serie A apabila beraksi dalam kesemua 38 perlawanan.