Paulo Dybala telah mendedahkan realiti kehidupan yang membingungkan akibat dijangkiti wabak koronavirus baru (Covid-19) sambil menegaskan duduk di rumah adalah cara terbaik untuk mengelakkan pandemik itu.

Penyerang Juventus itu antara salah seorang pemain bola sepak terkemuka terawal yang didapati positif, namun Dybala optimis dia telah mengatasi wabak berkenaan.

Dia dan teman wanitanya, Oriana Sabatini, kemudian mengasingkan diri dan Dybala berkata mereka berdua akan diuji semula bagi mengesahkan keadaan mereka.

Pemain berusia 26 tahun itu mahu memberi nasihat tentang cara mengendalikan virus itu dengan berkata: "Saya sentiasa cuba menyampaikan mesej tentang apa yang berlaku ke atas saya. Saya mahu orang menganggapnya serius dan mereka perlu duduk di rumah."

Dybala juga mendedahkan bagaimana doktor Juventus mengendalikan kesnya setiap hari.

"Semua orang di sini bersikap sangat baik kepada kami dan terdapat banyak kes di sini. Saya sering memberitahu mereka bahawa saya dalam keadaan baik dan mereka perlu cuba merawat orang yang benar-benar memerlukannya," katanya.

Estamos bien ???

A post shared by Paulo Dybala (@paulodybala) on



Itali terjejas teruk oleh krisis kesihatan global itu, justeru pemain Argetina tersebut amat menyedari ada mangsa yang menempuhi pengalaman yang lebih buruk berbanding dia dan teman wanitanya.

"Nasib kami jauh lebih baik, pada hari ini kita tidak lagi mempunyai sebarang gejala," katanya ketika diwawancara oleh Play Service daripada Persatuan Bolasepak Argentina (AFA).

"Sebelum ini saya mengalami gejala yang lebih kuat, saya berasa cepat letih. Saya sukar untuk bernafas selepas lima minit berlatih. Bermula daripada itu kami mula mengesan sesuatu yang tidak betul dan melalui ujian, kelab memberitahu bahawa kami positif.

"Kami mula menunjukkan lebih banyak gejala seperti batuk, badan lesu sementara ketika tidur, saya berasa sangat sejuk tetapi kelab memberitahu bahawa kami akan sembuh jadi kami harus bertenang."

Dybala berkata kebimbangan pertamanya adalah Covid-19 adalah amat sukar untuk ditangani.

"Ia agak mengganggu psikologi kerana saya berasakan sesuatu lalu menjadi takut," katanya.

"Saya cuba untuk berfikir bahawa ia bukan seperti itu."

"Oriana dan saya perlu melakukan ujian sekali lagi untuk mengetahui sama ada ia sudah tiada atau tidak dan kita akan mengetahui kebenarannya kelak," katanya.

"Saya selalu bergurau dengan menganggap saya menjangkiti Oriana memandangkan beberapa rakan sepasukan saya di Juventus telah positif. Saya yakin ia berpunca daripada saya."