Ketua jurulatih negara, Tan Cheng Hoe, meneruskan hasrat untuk mengumpul pemain kebangsaan pertengahan bulan ini walaupun aksi kelayakan Piala Dunia-Piala Asia masih belum pasti diteruskan ekoran covid-19.

Pelbagai spekulasi sedang bertiup ketika ini, Cheng Hoe tetap mengekalkan perancangan untuk meneruskan hasrat kumpul pemain kebangsaan di Wisma FAM 19 Mac ini.

Aksi kelayakan Piala Dunia-Piala Asia berkemungkinan ditangguh namun pengendali itu nampaknya memiliki rencana lain untuk diketengahkan.

"Tiada banyak berubaha dalam skuad kebangsaan. Pemain teras masih lagi kekal bersama pasukan manakala pemain-pemain yang menonjol dalam saingan liga tempatan bakal diberikan peluang untuk beraksi," kata Cheng Hoe.

Tegas Cheng Hoe, pengumpulan pemain kebangsaan adalah perlu memandangkan dia tidak memiliki banyak peluang untuk berbuat demikian.

Difahamkan, pengendali itu sedang mendapatkan sekurang kurangnya satu aksi persahabatan bagi menggantikan aksi kelayakan dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

"Bukan mudah untuk mendapatkan perlawanan tersebut, disebabkan covid-19, terdapat beberapa pasukan kebangsaan mengambil keputusan untuk menangguhkan perlawanan namun saya tetap positif dan optimis untuk mengatur satu perlawanan persahabatan untuk Harimau Malaya."