Antonio Conte menyaksikan kemajuan besar dalam permainan Lautaro Martinez baik dengan mahupun tanpa bola sepanjang dia mengemudi Inter.

Conte tiba di San Siro pada 2019, setahun selepas penyerang itu ditandatangani daripada Racing Club.

Kempen sulung pemain antarabangsa Argentina itu hanya membutirkan sembilan gol dan dua bantuan jaringan dalam 35 perlawanan tetapi angka tersebut semakin memberangsangkan di bawah Conte.

Martinez telah merekodkan 21 gol dan lima bantuan jaringan dalam 49 perlawanan musim lalu selain telah menjaringkan 16 gol dan mencipta enam bantuan jaringan lagi buat rakan sepasukannya dalam 38 aksi musim 2020-21.

Purata minit golnya mempamerkan peningkatan selama tiga musimnya di Itali sementara musim ini dia meledak pada setiap 162.2 minit.

Martinez juga mencipta lebih banyak peluang, purata 1.4 peluang dalam 90 minit selain bantuan jaringan, namun kelibatnya ketika bertahan juga semakin mengagumkan.

Pemain berusia 23 tahun itu 32 kali merampas bola di kawasan lawan musim ini (purata 1.1 setiap perlawanan) selain 31 pintasan untuk mengatasi gabungan catatan dua musim terdahulu.



Conte, yang ditanya tentang pemain nombor 10 itu dalam sidang media pra-perlawanan Inter dengan Sassuolo awal pagi esok, berkata: "Dia telah meningkat dalam segala aspek, baik dengan bola atau tanpa bola.

"Dia bertambah baik ketika bertahan dan mencari ruang.

"Seperti pemain lain, dia telah membuat kemajuan besar. Dia harus kekal seperti ini. Dengan usia yang masih muda, dia mempunyai masa depan yang sangat cerah. Terpulang kepadanya."