Calon presiden Barcelona, Victor Font, mahu memancing semula Pep Guardiola daripada Manchester City dan berjanji akan mengekalkan Lionel Messi di kelab itu.

Terdahulu, Josep Maria Bartomeu meletak jawatan selaku presiden di Camp Nou, Selasa lalu menjelang undi tidak percaya ke atas kepimpinannya, termasuk keseluruhan lembaga pengarah kelab itu.

Susulan peletakan jawatan Bartomeu, pemilihan presiden Barcelona dilaporkan akan mengambil tempat pada minggu kedua Januari depan dan Font diletakkan sebagai pilihan utama untuk mengisi jawatan itu.

Font, 48, berkata sekiranya dia memenangi jawatan itu, dia akan memanggil semula Guardiola sebagai ketua jurulatih, membawa bekas pemain dengan nama besar dan memastikan bintang Argentina, Messi, kekal bersama pasukan itu.

Guardiola pernah mengecap gemilang bersama Barcelona sepanjang 2008 hingga 2012 dengan mengemudi pasukan itu memenangi tiga gelaran LaLiga dan dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah.

Messi, dalam pada itu, meluahkan keinginannya untuk meninggalkan Barca pada Ogos lalu sebelum membatalkan niatnya bagi mengelakkan sebarang pertikaian undang-undang tetapi kontraknya akan tamat pada penghujung musim 2020-21.

Font berkata kepada Sky Sports: "Niat kami adalah untuk membentuk satu projek yang amat kuat dan kompetitif dan kami bertuah kerana Barca mewarisi cara permainan yang telah diterapkan Johan Cryuff bersama organisasi ini.

"Dan semua profesional yang tahu mengenai cara ini adalah juga penyokong dan pencinta kelab ini -- seperti Pep Guardiola, Xavi, (Andres) Iniesta, (Carles) Puyol.

"Mereka semua adalah legenda yang sayangkan Barcelona tetapi tidak bekerja bersama Barca hari ini -- kami perlu membawa mereka kembali untuk memastikan kami akan memiliki satu projek yang amat kompetitif.

"Satu-satunya perkara yang Messi perlu tahu adalah dia sebahagian daripada projek kompetitif ini yang akan menginspirasikan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah akan datang.

"Kami tiada sebarang keraguan bahawa jika kami dapat penghormatan untuk menerajui Barcelona, kami akan mencapainya," katanya.

Barcelona kini berada di tangga ke-12 LaLiga selepas bermula perlahan di bawah kendalian Ronald Koeman musim ini.