Bidaan Piala Dunia 2034: AFC main peranan penting

By Bernama 19 October 2019 57
Bidaan Piala Dunia 2034: AFC main peranan penting
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berpendapat peranan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) penting dalam usaha merealisasikan hasrat lima negara ASEAN untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.

Justeru, beliau akan berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai bentuk kerjasama yang dapat dijalin di antara negara ASEAN dan AFC selaku badan induk bola sepak Asia berhubung proses bidaan itu.

"Kami akan bincang dengan FAM mengenai perkara ini (penglibatan AFC dalam proses bidaan Piala Dunia 2034) kerana ia memang akan dikepalai oleh FAM (di Malaysia) serta persatuan bola sepak negara ASEAN lain. 

"Kami akan berkolaborasi dengan mereka (negara ASEAN) dan lihat bagaimana kami boleh tentukan hala tuju bersama," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis perasmian Warrior Challenge 4.0 di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) di Kuala Lumpur, hari ini.

Sebelum ini, timbul dakwaan bahawa AFC tidak berpuas hati dengan negara-negara ASEAN kerana tidak menjemput atau membuat sebarang rujukan kepada badan induk bola sepak Asia itu dalam perbincangan mengenai proses bidaan Piala Dunia 2034.

Ia berikutan satu Mesyuarat Jawatankuasa Kerja bagi mengkaji proses penyediaan dokumen bidaan Piala Dunia 2034 di ASEAN akan diadakan di Kuala Lumpur dalam masa terdekat. 

Mesyuarat itu akan turut membabitkan penyertaan persatuan bola sepak negara ASEAN bagi membincangkan kriteria yang diperlukan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk menjadi tuan rumah Piala Dunia 2034.  

Selain melibatkan persatuan bola sepak negara ASEAN, mesyuarat yang bakal diadakan itu turut membabitkan Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Mengulas lanjut, Syed Saddiq, bagaimanapun, berkata tarikh mesyuarat itu masih belum dimuktamadkan kerana masih menunggu pengesahan daripada sebuah negara ASEAN. 

Lima negara ASEAN yang berhasrat menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia 2034 adalah Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Vietnam.

-- BERNAMA

About Author

Bernama

Comment