Bekas presiden Barcelona, Josep Maria Bartomeu, telah "dibebaskan secara sementara" selepas ditahan susulan satu serbuan di pejabat kelab itu.

Semalam, Bartomeu dan bekas pengarah kelab itu, Jaume Masferrer, menggunakan hak mereka untuk tidak memberikan keterangan ketika menjawab pertuduhan mentadbir secara tidak adil dan korupsi dalam perniagaan.

Mahkamah Tinggi Catalonia (TSJC) mengesahkan bahawa kes itu masih dibuka.

"Perintah Mahkamah nombor 13 di Barcelona, berkenaan kes yang dibuka pada Mei 2020 berkaitan jenayah pentadbiran secara tidak adil dan korupsi dalam perniagaan, telah mengambil keterangan daripada bekas pengarah FC Barcelona, Josep M Bartomeu and Jaume Masferrer, seperti yang disiasat," kata TSJC dalam satu kenyataan.

"Kedua-dua tertuduh, yang hari ini telah hadir ke sesi pengadilan, telah menggunakan hak mereka untuk tidak memberikan keterangan dan hakim telah bersetuju untuk membebaskan mereka secara sementara.

"Kes ini, yang mana ringkasan kerahsiaannya telah ditarik, masih terbuka."

Dalam satu ciapan Twitter kelmarin, Los Mossos d'Esquadra mengesahkan "beberapa penggeledahan telah dilakukan" di premis kelab Barca oleh unitnya, yang dikhaskan dalam siasatan berkenaan jenayah ekonomi.

Bartomeu ditahan sebagai sebahagian daripada siasatan bersama ketua pegawai eksekutif kelab itu, Oscar Grau.

Ketua perkhidmatan undang-undang Barca, Roman Gomez Ponti, dan bekas pengarah, Jaume Masferrer, turut diberkas.

Siasatan berkenaan difahamkan melibatkan skandal "Barcagate", di mana Barcelona didakwa membayar syarikat media sosial, 13 Ventures, untuk memburuk-burukkan individu terkenal dalam kelab itu seperti Lionel Messi, Pep Guardiola, Xavi, Gerard Pique dan bekas presiden, Joan Laporta, sepanjang di bawah kepimpinan Bartomeu.

Los Mocos menggeledah pejabat Barca pada Julai 2020 berikutan dakwaan itu sebelum kelab berkenaan mengupah Price Waterhouse Coopers untuk menyiasat perkara itu selain firma audit global bagi pihak mereka.

Bagaimanapun, ahli lembaga pengarah, Emili Rousaud, Enrique Tombas, Silvio Elias, Josep Pont, Maria Teixidor, Noelia Ronero dan Jordi Calsamiglia telah meletakkan jawatan mereka susulan kes berkenaan.

Oktober lalu, Bartomeu mengundurkan diri daripada jawatan presiden Barcelona, di mana Messi pada ketika itu mencuba untuk meninggalkan kelab berkenaan dan menjelang undi tidak percaya terhadap kepimpinannya.

Laporta menjadi calon pilihan untuk kembali bertanding sebagai presiden dengan pemilihan kelab itu akan mengambil tempat pada hujung minggu ini.